Ikuti Blog ini

MB dakwa konspirasi politik


Kerajaan negeri Perak mempertahankan dua ahli exconya yang ditahan Badan Pengecah Rasuah (BPR) kerana dipercayai terlibat dengan rasuah dan mendakwa ia berpunca daripada konspirasi politik,
kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan mana-mana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Projek tak wujud jadi mustahil kedua-dua exco boleh membantu meluluskan projek.

"Kami yakin kedua-dua exco dan rakan-rakan telah dianiaya. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa," katanya mengulas kes penahanan dua ahlli exco atas tuduhan rasuah, selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di kediamannya di Ipoh semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah naib presiden PKR Dr Lee Boon Chye, pengerusi PKR negeri Ismail Yusof dan pengerusi DAP Datuk Ngeh Koo Kham serta Ahli Dewan Undangan Negeri pakatan itu, demikian menurut laporan Bernama.

Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri tidak akan menghalang BPR daripada menjalankan siasatan ke atas mana-mana adunnya.

"Biarlah proses undang-undang berjalan," katanya, sambil menambah beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes itu untuk mendedahkan pembohongan dan penyelewengan kes itu.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata Pakatan Rakyat juga akan menubuhkan panel peguam untuk membantu pembelaan.

Mesyuarat Pakatan Rakyat yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar itu berlangsung selama satu setengah jam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .