Ikuti Blog ini

Kampung Baru: Penduduk perlu bersatu perjuangkan hak


Kuala Lumpur - Penduduk Kampung Baru perlu bersatu padu dalam memperjuangkan hak mereka terhadap lebih 200 ekar tanah yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.Pandangan tersebut disuarakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pertemuan tertutup bersama ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali di Pejabat Rasmi Menteri Besar, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

“Penduduk Kampung Baru mesti dibangkitkan agar mereka mengambil berat terhadap perkara ini,” tegasnya kepada pemberita di samping Penasihat Undang-undangnya, Dato’ Paduka Zahirah Bee dan beberapa orang peguam yang turut kelihatan dalam majlis itu.
Menurutnya,penduduk Kampung Baru harus bergading bahu membangunkan satu-satunya perkampungan Melayu di Kuala Lumpur itu sendiri memandangkan pelbagai cubaan dari luar selama ini menemui jalan buntu disebabkan melibatkan kepentingan tertentu.

Tiada campur tangan politik

Selain itu Dr Lo’ Lo’ turut mengulas bahawa, penekanan turut perlu dibuat agar segala campur tangan berbaur politik dari pihak berkepentingan yang sekadar tahu mengaut keuntungan tidak berlaku.

“Sebaliknya, kepercayaan dan bantuan kewangan wajar disalurkan kepada anak jati Kampung Baru bagi memanfaatkan kepakaran yang ada pada mereka dalam usaha membangunkan kampung Melayu ini,” tegasnya.

Katanya, biarlah kampung ini kekal menjadi warisan serta dibangunkan menurut selera dan kemahuan penduduk asal tanpa menghilangkan keasliannya.

Justeru, tambahnya, satu jaminan perundangan dari pihak kerajaan perlu diberikan bagi memastikan tanah tersebut terus kekal menjadi hak milik kaum Melayu.

“Sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai beberapa hak eksklutif ke atas tanah mereka, sewajarnya kerajaan turut melayani penduduk Kampung Baru sebegitu rupa juga,”ujarnya.

Ucapan terima kasih

“Saya mewakili warga Kampung Baru juga berterima kasih atas penyertaan kerajaan Selangor dalam membela nasib kaum Melayu di Kampung Baru seterusnya menjaga kepentingan hartanah di sini,”ucapnya.

Menurutnya, sumbangan daripada kerajaan Selangor sebanyak RM50,000.00 serta bantuan tenaga pakar bagi membantu proses penyelidikan dan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji isu berbangkit ini amatlah dialu-alukan.

Tambahnya,peluang ini dilihat mampu untuk digunakan bagi mempastikan setiap warga dari kampung yang terkenal dengan keenakan nasi lemaknya itu mendapat hak masing-masing.

Pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur

Menurut Dr Lo’Lo’,dalam tempoh yang terdekat ini, beliau akan bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi memperjelaskan isu ini selain berkongsi pandangan supaya masalah ini dapat diselesaikan secara positif.

“Saya berharap agar Datuk Bandar sudi mengadakan pertemuan dan tidak melarikan diri lagi. Masalah hanya akan dapat diselesaikan melalui cara bersemuka,”tegasnya.

Katanya lagi, pihak-pihak lain seperti MAS, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk yang mempunyai kepakaran turut diundang bersama dalam merangka pelan pembangunan Kampung Baru mengikut citarasa majoriti penduduk.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .