Ikuti Blog ini

Datuk SRK datang 6 Dis pulak....

Kontroversi: Anugerah Datuk, Siapa Tanggung Kos Shah Rukh Khan Datang Ke Melaka Nanti !!

MELAKA - Pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan, telah bersetuju datang ke Melaka pada 6 Dis ini untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk. Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata Shah Rukh Khan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 7.30 pagi dan akan berada di Melaka selama sehari. Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada Shah Rukh Khan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada 10 pagi, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Okt lepas. Omar berkata bahawa pada majlis istiadat penganugerahan itu, Shah Rukh Khan akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok, satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.
Katanya seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis istiadat penganugerahan berkenaan dan ia terhad kepada jemputan sahaja.
Omar berkata Shah Rukh Khan akan turut melawat beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan orang ramai boleh menemui pelakon itu di tempattempat berkenaan. Katanya pelakon popular Bollywood itu dijadual melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang).
Beliau kemudiannya akan ke KLIA untuk penerbangan balik ke Mumbai jam 8 malam itu.

[Maka, sah agaknya aktor Bollywood itu akan datang ke Melaka seperti yang diwar-warkan. Namun harus diingat, belanja yang besar diperlukan sebenarnya untuk membawa artis itu ke Malaysia. Tambahan pula beliau mungkin tidak tahu "nilai Datuk" yang bakal diterimanya itu. Persoalannya, siapakah yang menanggung segala perjalanan beliau ke Melaka. Apakah ia diuruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka?. Sungguh bertuah nasib Shah Rukh Khan, lebih beruntung dari sebahagian besar rakyat Malaysia. Orang luar dihargai, orang kita sendiri dilupakan. Selepas ini, pasti ramai lagi artis antarabangsa akan menerima anugerah Datuk. Maka terbuktilah bahawa "gelaran Datuk" kini sudah tiada nilainya dan boleh "diperdagangkan" sesuka hati mengikut nilai-nilai tertentu. Malu rasanya untuk memanggil Shah Rukh Khan dengan gelaran "Datuk" selepas beliau menerima pingat itu. Terlalu hina rasanya bangsa sendiri dengan anugerah itu. Macamlah hanya Shah Rukh Khan sahaja yang memperkenalkan nama Melaka di peringkat dunia. Jika hanya ada beberapa sceene yang memaparkan babak Al-Famosa Melaka dalam lagu Hindi itu pun dikatakan membanggakan, apa akan jadi jika ada penerbit luar negara selepas ini datang ke Malaysia terutamanya buat filem 100% di Melaka. Sungguh malang lagi , jika kerajaan negeri sendiri sebenarnya yang tanggung segala kos membawa artis Bollywood itu datang ke sini].


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .