Ikuti Blog ini

Kes liwat Anwar: Pendakwaan dan pembelaan terus bertelagah, Mahkamah Tinggi dengar rayuan 20 dan 21 Nov


ANWAR bersama Azizah di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim terus bertelagah mengenai urusan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi walaupun Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, S.M Komathy Suppiah mendapati sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Sesi sebutan kes yang dijadual bermula hari ini terpaksa ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memfailkan semakan semula terhadap keputusan hakim berkenaan buat kali kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada awal sesi sidang mahkamah hari ini, Peguam R. Sivarasa yang mewakili pihak pembelaan mempersoalkan tentang pelanggaran akujanji pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang berjanji akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sivarasa berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 51(A) yang menjelaskan segala dokumen yang berkaitan mestilah disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan.

"Yang Arif, pihak pendakwa telah melanggar akujanji yang mengatakan bahawa mereka akan menyerahkan dokumen tersebut sepatutnya pada hari ini sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah peruntukan seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terutamanya bagi sub-seksyen 35(2) yang memperuntukan bahawa memandangkan ada permohonan semakan semula, semua prosiding di mahkamah rendah hendaklah digantung.

anwar sodomy trial 141108 01

"Oleh itu kami meminta supaya semua prosiding berhubung dengan kes ini ditangguhkan sementara menunggu apa-apa keputusan dan arahan Mahkamah Tinggi berhubung dengan semakan semula kes tersebut," katanya.

Pada 11 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang dibuat Komathy pada 7 November lalu.

Kemudian pada 12 November, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) memaklumkan bahawa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 20 hingga 21 November depan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung semakan tersebut.

Alasan yang diberikan Mohamed Yusof masih tidak memuaskan hati pihak pembelaan yang tetap menggesa pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan kerana kes tersebut akan tetap dibicarakan.

"Kami memerlukan dokumen tersebut untuk buat persediaan dalam kes ini, walaubagaimanapun kes ini akan tetap dibicarakan," kata Sivarasa.

Oleh yang demikian, Mohamed Yusof memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan segala dokumen yang diperlukan itu.

Menurutnya, dokumen berkenaan akan diserahkan pada petang ini.

Sementara itu Anwar yang ditemui diluar mahkamah menjelaskan tindakannya 'mencelah' sewaktu Mohamed Yusof berhujah bagi menyangkal dakwaan Sivarasa yang sangsi sebab pihak pendakwaan tidak mahu menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan yang berkemungkinan telah diubah, diganggu ataupun hilang seperti yang berlaku 10 tahun lalu.

"Sebab tulah saya sergah dalam mahkamah tadi, kita baru cuit sikit dia dah melenting...kalau dah tahu 10 tahun lalu ada buat salah, mengaku sahajalah, buat apa nak teruskan kezaliman.

"Sekarang 'pemain-pemain' utama adalah orang sama, cuma pelakonnya sahaja dah tua," katanya sinis.

Ketika didalam mahkamah, Anwar mencelah dengan mengatakan: "Sejak 10 tahun lalu anda tidak pernah minta maaf."

Celahan itu dibuat apabila Mohamed Yusof menyatakan beliau sudah bosan dengan dakwaan Anwar bahawa pihak pendakwaan berat sebelah sewaktu mengendalikan kesnya.

Mohamed Yusof dengan nada yang emosional berkata: "Saya sudah bosan dengan dakwaan seperti ini, semua dokumen ada pada saya hari ini dan tak ada masalah untuk saya serahkan kepada pihak pembelaan."

Dalam pada itu Sivarasa yang menggantikan peguam kanan barisan pembelaan, Sulaiman Abdullah yang tidak hadir pada prosiding hari ini berkata pihak pembelaan membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak pendakwaan yang enggan menyerahkan dokumen-dokumen terbabit.

"Kami bangkitkan persoalan mengenai mengapa mereka tidak mahu serahkan yang mungkin ada sesuatu (agenda).

"Namun akhirnya mereka ubah pendirian dan berjanji akan serahkan semuanya petang ini atau esok," katanya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .