Ikuti Blog ini

Tragedi berdarah Lubuk Merbau bakal merebak ke Kuala Nerang?

pru_pt1APAKAH tragedi berdarah pilihanraya kecil kawasan Parlimen (Kapar) Padang Terap Januari 1985 bakal mencetuskan kemungkinan melanda pula ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Kuala Nerang Kedah yang dilaporkan akan turut mengadakan pilihanraya yang sama tidak lama lagi?

Ini berikutan keputusan mahkamah pada 3 November lalu mengistihyarkan muflis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dari Barisan Nasional yang didapati gagal melunaskan hutang banknya berjumlah RM100,000.

Pada pilihanraya umum ke-12 lalu, Syed Sobri yang terpilih menjadi calon adun menggantikan Datuk Dr Afiffuddin Omar menang ke atas wakil PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti tipis 805 undi dan kesnya akan didengar di mahkamah pada awal Disember ini.

Seandainya pihak Suruhanjaya Pilihanraya telah meneliti dan memutuskan bahawa satu pilihanraya kecil akan berlangsung berlandaskan keputusan mahkamah dan makluman Speaker Dun Kedah, Dr Isa Ismail diambilkira, maka perkembangan terbaru ini mungkin tentunya akan mengimbau kembali peristiwa bagaimana tragedi paling memilukan di Padang Terap akan berulang lagi pada pilihanraya kadun Kuala Nerang nanti.

Sehari sebelum hari pengundian, dilaporkan berlaku pertumpahan darah melibatkan lebih 200 orang ahli Umno dan petugas jentera PAS di Felda Lubuk Merbau yang dianggap kawasan paling ramai bilangan pengundi berdaftar berakhir dengan satu kematian iaitu seorang penyokong PAS, Osman Talib dan puluhan lagi dikatakan ditimpa kecederaan akibat penggunaaan objek tajam.

Inilah perkara yang paling dibimbangi bukan sahaja melibatkan para pengundi, pasukan keselamatan malah jentera kempen baik dari Pakatan Rakyat didokongi PAS mahupun Barisan Nasional.

Malah dikalangan penduduk Felda di situ yang menerima tempias peristiwa itu pasti tidak dapat melupakan tragedi yang tidak dijangka sehingga mengakibatkan kawasan mereka seolah-olah berada di medan pertempuran yang kemudian sedikit reda selepas menerima campurtangan dari pihak berkuasa keselamatan.

Dun Kuala Nerang yang memiliki 18, 394 pengundi berdaftar dan lebih 90% terdiri daripada pengundi Melayu terletak dibawah kapar Padang Terap bersama-sama satu lagi dun iaitu Pedu yang dimenangi calon BN, Datuk Seri Mahadzir Khalid, bekas MB Kedah.

calonpasknPada pilihanraya umum Mac lalu, BN berjaya menyapu 2 kerusi Dun manakala parlimen pula dimenangi Pakatan menerusi Ustaz Nasir Zakaria, calon PAS yang mengalahkan penyandang, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim.

Berlandaskan senario politik sekarang, keputusan terbaru dalam pilihanraya kecil kapar Permatang Pauh dan isu-isu berbangkit baik di dewan rakyat mahupun dewan undangan negeri, peluang Pakatan dilihat cukup cerah untuk merampas kembali Kuala Nerang dari genggaman BN.

Baik Pakatan mahupun BN, golongan atas pagar dan masyarakat bukan Melayu terutama keturunan Thai dijangka sekali lagi menjadi penentu ke arah kemenangan selain bergantung kepada sokongan pengundi fanatik masing-masing. Inilah hakikat yang sering berlaku di Dun Kuala Nerang setiap kali pilihanraya berlangsung.

Kiranya pilihanraya kecil menjadi realiti, tidak dapat tidak permasalahan BN yang dikecam hebat berikutan kenaikan harga minyak dan barangan dan kegagalan Pakatan merealisasikan agenda mengambilalih kerajaan persekutuan akan dilihat menjadi bahan kempen bakal diperdengar pada sesi ceramah dun Kuala Nerang kelak. Sama-samalah kita tunggu dan lihat….!




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .