Ikuti Blog ini

Amaran Kepada UMNO/Barisan Nasional - Usah Bermain Politik Dengan Isu Hudud dan Qisas

http://buletinonline.net/images/berita15/hudud%26qisas.gif
Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Mulia Sultan Terengganu, sekiranya UMNO/Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas


Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa dan menimbulkan polemik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


“Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihanraya Kecil tidak lama lagi,”katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, dekat sini semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh UMNO/Barisan Nasional kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.


Katanya ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

“Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002,”


“Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, dimana dalam kerajaan UMNO/Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,”jelas Fariz


Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap Enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.


Sehubungan dengan itu beliau berkata sebenarnya UMNO sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

“Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi labiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu,”

“beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.”tegasnya


Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai ‘menderhaka’ kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini .

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh UMNO/Barisan Nasional.


“Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah UMNO/Barisan Nasional yang sudah ’bankrup’ dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh UMNO/Barisan Nasional dan media arus perdana.”tambahnya



Isu hudud timbul untuk kali ke seribu

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .