Penunjuk perasaan bantahan melaungkan takbir dan mengibar bendera Palestin, sepanduk, kain rentang dan poster sebagai tanda mengecam Yahudi dan dan meminta umat Islam negara itu bersabar. Di samping itu, bendera negara haram Zionis Israel turut dibakar sebagai tanda membantah dan menyatakan kemarahan atas tindakan buas dan ganas Yahudi terhadap umat Islam selatan Gaza yang dibedil bermula 27 Disember lalu itu. Sehingga kini, korban kematian sudah mencecah 420 orang dan lebih 2,000 yang lain cedera parah. Sepanjang beberapa hari ini lebih daripada 20 lokasi di Gaza telah dibom dari udara, darat dan laut termasuk kediaman dua pimpinan senior Hamas. Sementara dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Yusof Embong menggesa Malaysia menarik balik kedutaan negara ini di negara-negara yang menyokong Israel seperti Britain sebagai tanda bantahan terhadap persekongkolan negara tersebut dengan pengganas Yahudi.
Yusof juga mengingatkan, bahawa kezaliman tindakan rejim Israel ini bukan sahaja berkaitan isu agama tetapi juga berkaitan isu kemanusiaan sejagat. Dalam pada itu, Nizam Hamid memberitahu demonstrasi hari ini mendapat sokongan kuat peguam-peguam daerah Temerloh jika pihak tertentu mengambil tindakan. Beliau juga memberitahu akan membuat ‘road show’ seluruh negeri Pahang dengan memanggil wakil Hamas. Antara tujuannya ialah untuk memberi penerangan dan mengumpul derma untuk membantu umat Islam Palestin. Sementara itu derma kilat yang dilancarkan bagi umat Palestin semasa demonstrasi tersebut telah berjaya mengumpul RM1,075.50 dan 15 Riyal hasil sumbangan orang ramai.
[Terkadang kita naik hairan dengan pihak berkuasa terutamanya pasukan polis di Malaysia negara Islam Hadhari ini. Biarpun demonstrasi yang diadakan bukan bertujuan politik tetapi untuk memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin. Namun, mereka masih mahu menghalang rakyat untuk menyatakan bantahan atas kekejaman yang dilakukan oleh Zionis itu. Sungguh malang bagi umat Islam di Malaysia, jika perkara seperti ini pun dianggap sebagai perhimpunan haram. Walhal ia bertujuan untuk menyatakan perasaan kecewa atas segala kezaliman yang berlaku itu].