IPOH - Warga Perak sekali lagi mengadakan perhimpunan aman bagi membantah keganasan dan kezaliman regim zionis Israel menyerang dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Bertempat di Masjid Sultan Idris Shah II ataupun lebih dikenali sebagai Masjid Negeri selesai solat Jumaat serta solat hajat, perhimpunan aman yang diterajui oleh Dewan Pemuda Pas Perak ini berjaya mengumpulkan hampir keseluruhan jemaah pada tengahari ini. Apatah lagi setelah jemaah mendengar khutbah tentang kezaliman zionis Israel daripada mimbar masjid yang benar-benar membakar semangat untuk mengutuk dan menyelar tindakan zionis laknatullah itu.
Ucapan yang berapi-api daripada pimpinan mendapat sorakan yang gemuruh daripada hadirin. Antara yang melaungkan kata-kata semangat serta slogan-slogan mengutuk kezaliman ini ialah Ketua Dewan pemuda PAS Perak, Ust. Norazli Musa, Wakil NGO Jamaie, Sdr. Khalilul Rahman, seorang wakil daripada Aman Palestin dan wakil dari Dewan Muslimat PAS, Ustazah Sabariah.
Turut hadir sama bagi menyatakan sokongan terhadap perhimpunan hari ini adalah Menteri Besar Perak, DS Ir Mohammad Nizar dan Timbalan Exco Agama yang juga Adun Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ust Zulkarnain Ibrahim, pungutan derma kilat untuk membantu rakyat Palestin serta membakar bendera Israel sebagai tanda simbolik bantahan terhadap kekejaman rejim zionis itu.
Perhimpunan aman ini bersurai sekitar jam 2.35 petang.