Kuala Terengganu – Pemuda PAS Terengganu bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak dan Kedah bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyar dalam kedua-dua pilihanraya kecil tersebut. (Gambar-Majlis BBQ Pemuda Sempena Kemenangan Kuala Terengganu)
Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, sasaran adalah untuk memastikan trend sokongan golongan muda meningkat berbanding dua pilihan raya kecil sebelum ini.
“Kalau boleh, kita mahu sokongan muda lebih daripada pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu dan Permatang Pauh,” katanya.
Katanya, Pemuda PAS akan menjalankan kempen awal dengan memberi penjelasan sewajarnya supaya sokongan tidak tergugat.
Sehubungan itu Ketua Pemuda DUN Bandar Kuala Terengganu, Syed Alwi Syed Abd Rahman (Gambar) berkata beliau akan mengerahkan anak-anak buahnya bagi membantu kedua-dua pilihanraya kecil tersebut.
Beliau yang ditemui Buletinonline pada majlis BBQ Pemuda sempena kemenangan Parlimen Kuala Terengganu di Cabang Empat Pulau Musang baru-baru ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dalam negeri dan luar Terengganu.
“Inilah masanya untuk membalas budi petugas-petugas, khususnya yang datang dari luar, kita akan memastikan pemuda-pemuda DUN Bandar bersama-sama dua pilihanraya kecil yang penting itu,”katanya.
Turut sama melayan para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pemuda DUN Wakaf Memepelam, Yusof Embong.
Beliau juga memberikan komitmen yang sama, akan turun bersama-sama pemuda Kuala Terengganu bagi mempertahankan kedua-dua kawasan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum lalu.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Roslan Shaharum dan peletakan jawatan V Arumugam.