Ikuti Blog ini

SPRM Alat UMNO Jatuhkan Pakatan Rakyat

SPRM di bawah Ketua Pesuruhjaya, Dato' Ahmad Said Hamdan perlu menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, jika SPRM dapat menjalankan siasatan secara telus tanpa memihak pada mana-mana parti politik PAS akan sokong walaupun perkara itu kena kepada pimpinan parti.

Bagaimanapun, katanya, daripada penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM seolah-olah institusi itu menjadi alat Umno-BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah naungan Khalid Ibrahim.

Sebelum ini kata beliau, kerajaan Pakatan Rakyat telah membuat aduan tentang penyelewengan wang Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) tetapi tidak ada siasatan segera.

Beliau mempersoalkan mengapa jika perkara yang melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat SPRM boleh membuat penyiasatan dengan segera.

"SPRM seolah-olah tidak ada tindak balas dalam soal aduan berhubung penyelewengan wang Balkis," tegasnya ketika ditemui di program Himpunan Muslimat PAS Kawasan Ulu Langat.

Tambah beliau, begitu juga dengan aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Sehingga kini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan," tegas beliau.

Beliau menegaskan, SPRM perlu menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan adil supaya institusi itu akan dihormati oleh seluruh rakyat.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .