Ikuti Blog ini

PETANDA KEMBALINYA ERA MAHATHIRISME?


Tentunya Najib, bakal PM ke 6 tidak akan mengaku sama sekali yang beliau telah dan akan menggunapakai pendekatan Mahathirisme untuk membangunkan kembali kekuatan UBN di negara ini. Barangkali, Najib mahupun penyokongnya akan berkata, “mungkin apa yang berlaku itu satu kebetulan”.

Tun Mahathir selalu berkata, “Melayu mudah lupa”. 3 patah perkataan itu selalunya ditujukan khas kepada orang Melayu yang menolak UMNO. Padahal, mengikut kajian sains, bukan bangsa Melayu sahaja yang mudah lupa. Semua jenis bangsa memang mudah lupa.

Keadaan ini berlaku kerana kotak memori dalam otak manusia hanya menyimpan sekitar 30% maklumat dalam satu-satu masa. Maklumat yang jarang atau tidak digunakan akan dikeluarkan semula dan 70% lagi ruang yang kosong itu diperlukan untuk memudahkan maklumat baru disimpan dalam akal kita.

Lebih menarik lagi, maklumat yang mudah disimpan dalam kotak memori akal manusia adalah maklumat yang melibatkan perasaan. Lalu, memang tidak menghairankan jika rakyat Malaysia boleh mengimbau kembali saat Tun Mahathir menangis di perhimpunan agung UMNO biarpun peristiwa itu sudah terjadi bertahun dahulu. Mungkin agaknya Tun Mahathir sudah tahu tentang kajian ini.

[Sedikit renungan: Bagi yang beragama Islam, antara hikmah orang Islam disuruh mengerjakan solat 5 kali dalam sehari adalah untuk memastikan orang Islam tidak akan terlupa yang dirinya itu Islam!]

Bagi yang sudah lupa, ada 3 ciri utama pemerintahan Tun Mahathir dahulu yang seakan mula dipraktikkan semula seperti:

1) Menyekat media pembangkang
Mulai semalam, penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan digantung selama 3 bulan tanpa sebarang alasan diberikan oleh KDN. Pergantungan dilakukan sewaktu pembangkang begitu memerlukan media cetak seperti akhbar untuk kempen mereka di PRK Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Perkara seperti ini sudah biasa berlaku sewaktu pemerintahan Tun Mahathir. Adakah ini bermakna, semua IP penulis blog pro-pembangkang juga sedang dikenalpasti oleh pihak-pihak tertentu?

2) Melarang rakyat daripada hadir ceramah politik pembangkang
Malam tadi, insiden polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengusir rakyat daripada menghadiri ceramah politik pembangkang sudah berlaku kembali. Insiden seperti ini juga sudah biasa berlaku sewaktu Tun Mahathir menguasai kerajaan. Selepas penerbitan akhbar pembangkang digantung, apa lagi ruang untuk pembangkang menyampaikan mesej mereka kepada rakyat jika berceramah pun tidak boleh?

3) Melarang rakyat daripada mengadakan perhimpunan atau tunjuk perasaan
Lihat sahaja bagaimana tindakan polis yang menghalang perarakan aman kumpulan GMP daripada menyampaikan memorandum bantahan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agong. Apa salahnya kumpulan GMP itu diberikan kebebasan untuk menyuarakan hasrat mereka kerana Agong adalah ketua bagi sekalian rakyat Malaysia tanpa mengira ianya adalah penyokong PPSMI ataupun penentang PPSMI. Yang Di-Pertuan Agong adalah Agong untuk setiap pemegang MyKad samada mereka itu ahli UMNO atau ahli PAS atau ahli DAP.

Melihat kepada senario yang berlaku kini, bibit-bibit Mahathirisme seakan sudah mewarnai kembali arena politik di negara ini. Ruang demokrasi yang dibuka sewaktu era Abdullah Badawi seakan mula ditutup kembali. Jika keadaan ini berterusan dipraktikkan, rakyat yang pro-pembangkang akan bertambah menyampah dengan kerajaan dan mereka yang atas pagar akan bertambah kasihan pada pembangkang.

Jika Najib dan barisan kepimpinan UMNO yang baru benar-benar mahukan sokongan rakyat, hentikanlah pendekatan konfrontasi dan suburkanlah pendekatan diplomasi. Parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC wajar menggunakan suara mereka untuk menyedarkan UMNO kerana mulut pembangkang boleh ditutup tapi mulut peti undi perlu dibuka 5 tahun sekali.

Makna singkatan:
1) UBN = UMNO & Barisan Nasional
2) KDN = Kementerian Dalam Negeri


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .