13 tahanan ISA dibebas Najib, sudah keluar pusat Kamunting
TAIPING: Selepas lebih 40 jam diumumkan pembebasan oleh Perdana Menteri baru Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, kesemua 13 tahanan ISA keluar daripada Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting dekat sini menjelang 1.30 tengah hari tadi.
Tiga orang tahanan - rakyat asing, dipercayai telah keluar seawal 10.43 pagi tadi manakala yang lain sebelum 1.30 tengah hari.
Baki 10 tahanan termasuk dua pemimpin Hindraf yang telah diharamkan dibenarkan keluar pusat tersebut antara pukul 1.15 dan 1.20 tengah hari tadi.
V. Ganabatirau dan R.Kenghadharan dibawa keluar dengan kereta Proton berasingan manakala lapan tahanan lain keluar seorang demi seorang melalui pintu kecil lalu menaiki dua buah van yang disediakan di luar pusat tahanan Kamunting.
Kenderaan polis yang membawa Ganabatirau dan Kenghadharan kini sedang dalam perjalanan membawa mereka ke rumah masing-masing di Shah Alam dan Kelana Jaya.
Mereka antara lima pemimpin Hindraf ditahan pada 13 Disember 2007.
Isteri Ganabatirau ketika dihubungi sebentar tadi berkata, dia sedang mengekori kereta polis yang membawa suaminya.
“Saya belum sempat bercakap dengan dia lagi… saya sedang mengikuti kereta yang membawa suami saya, saya tidak tahu sama ada saya boleh menemui suami dalam pertengahan jalan ke rumah kami,” katanya.
Selain pemimpin Hindraf, tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.
Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnya berakhir tahun depan.
Tiga rakyat asing pula ialah Sundaraj Vijay (warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.
Anggota Jemaah Islamiah itu ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003.
Pusat Kamunting menjadi tumpuan orang ramai termasuk penyokong dan anggota keluarga tahanan-tahanan tersebut.
Bagaimanapun angggota keluarga Darul Islam dan Jemaah Islamiah tidak kelihatan.