Ikuti Blog ini

Demi menjamin pemusatan kuasa oleh BN, sistem kehakiman sekali lagi dicabul!




SISTEM kehakiman telah melaksanakan satu perubahan dalam perundangan di Malaysia hanya semata-mata untuk meletak dan menjamin kuasa hanya berpusat kepada BN sahaja, lapor Nyza Ayob.

Demikian ditegaskan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Nizar Jamaluddin sewaktu berucap pada Malis Hi Tea dan Sembang Petang anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Titiwangsa pada 18 April lalu. Turut serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Ghazali dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ali Jamil.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Tetapi kali ini ia berlaku semata-mata campur tangan Peguam Negara dalam kes negeri. Tetapi mereka telah mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku dengan bertindak lebih daripada sepatutnya," tegas Nizar.

Walaupun keputusan mahkamah menetapkan penggantungan Speaker terhadap Dato' Seri Zambry dan enam orang exco adalah tidak sah, Nizar tetap berpendirian pihaknya akan tetap melaksanakan tugasan-tugasan yang dibenarkan oleh apa sahaja saluran yang ada dalam perundangan.

Beliau melahirkan kekesalan kerana berita yang tersiar di media-media milik BN menggambarkan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan itu seolah-olah menunjukkan apa yang telah dilakukan tidak menyebelahi Pakatan Rakyat.

"Itulah tafsiran mereka. Tetapi pada hakikatnya keputusan yang dibuat oleh mahkamah hanya sekadar menyatakan inilah 'opinion' mahkamah dalam kes penggantungan ke atas Zambry selama 18 bulan dan enam orang exco selama 12 bulan itu tidak sah.

"Tetapi ia tidak memenuhi lapan lagi permintaan pengisytiharan yang dibuat Zambry dan exco tersebut. Jadi, kemenangan ini besar kerana kuasa Speaker masih lagi dinaungi perlembagaan dan perintah-perintah tetap," tegas Nizar.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut berharap PAS akan melipat ganda usaha untuk mendekati golongan Melayu serta 'menukar' pandangan mereka yang masih mempunyai minda 'kemelayuan'.

"Kita ingin memberitahu khususnya kepada orang Melayu bahawa isu penderhakaan ini memang tidak masuk akal," katanya.

Mengulas senario di Bukit Gantang, Nizar berkata berdasarkan pertambahan undian di kalangan kaum bukan Melayu menggambarkan slogan 'Islam untuk semua' telah mula diterima segenap lapisan masyarakat.

Rumusan tersebut katanya berdasarkan maklum balas yang diterima beberapa hari selepas keputusan pilihan raya yang mana golongan bukan Melayu tidak lagi gentar dengan pimpinan PAS dan tidak lagi sangsi dengan apa yang dibawa PAS.

"Mereka telah merasakan PAS berkemampuan untuk menukar landskap politik Malaysia hari ini. Inilah sewajarnya kita pegang dan mudah-mudahan pada pilihan raya ke 13 nanti berlaku pertambahan sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang diterajui PAS," katanya.

Dalam pada itu Nizar turut berikrar akan membawa isu yang melanda Perak itu sebaik sahaja beliau melangkah kaki ke Parlimen pada Jun nanti. Beliau menaruh harapan isu tersebut bukan sahaja menarik perhatian pimpinan BN tetapi juga seluruh negara.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .