Ikuti Blog ini

Krisis politik Terengganu menghala ke arah pembubaran Dun?

BESUT - Mungkinkah krisis politik yang melanda Terengganu sekarang akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ia dianggap sebagai langkah selamat bagi meredakan keadaan.


Teori itu boleh menjadi kenyataan sekiranya Dato' Ahmad Said digugurkan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Terengganu. Ahmad tentunya tidak akan mudah menyerah kalah.


Apa yang berlaku di negeri minyak tersebut hampir serupa dengan situasi di Perak apabila Menteri Besar cuba disingkirkan.


Biar apa pun krisis politik dalaman Umno Terengganu mungkin tambah membesar esok.


Pengumuman siapa dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri akan menentukan pemenang di antara Ahmad atau Dato' Seri Idris Jusoh.


Atau kedua-duanya terpinggir. Mungkin juga tokoh baru akan muncul dari kalangan 22 Adun Barisan Nasional (BN yang ada sekarang).


Sekiranya telahan itu menjadi kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok, Terengganu sudah pasti akan mendapat Menteri Besar yang baru tidak lama lagi.


Kedudukan Ahmad sudah gonyang ekoran 10 Adun BN yang pro Idris memulaukan persidangan Dun baru-baru ini.


Dan keadaan tambah celaru apabila tiga rakan mereka dikatakan menerima ugutan bunuh melalui SMS yang hantar seorang individu.


SMS tersebut dikatakan sebagai tindak balas memandangkan ada hasrat Adun terbabit membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di persidangan Dun baru-baru ini.


Manakala Idris pula tidak disenangi pihak istana biar pun menang sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada perhimpunan Mac lalu.


Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasition Ismail berkata, Terengganu hampir pasti akan mendapat menteri besar baru selepas Mei ini sekiranya Ahmad tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.


"Mungkin muka baru dari kalangan Adun BN akan dilantik ke jawatan tersebut.


"Adun yang akan dilantik nanti boleh jadi bukan lagi Ahmad dan Idris sebaliknya salah seorang daripada 22 Adun BN," katanya pada ceramah di Markaz PAS Dun Hulu Besut di Kampung Lubok Kawah, malam tadi.


Bagaimanapun katanya adakah Ahmad akan menyerah kalah begitu sahaja tanpa menggunakan kuasa membawa ke arah pembubaran Dun.


Spekulasi pertukaran jawatan menteri besar bertiup kencang di Terengganu ekoran krisis perebutan kuasa di antara Idris dan Ahmad.


Ahmad dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu memandangkan pihak istana tidak berkenan kepada Idris.


Saifuddin yang juga Pengarah Strategik KeADILan berkata, pemulauan 10 Adun BN pada persidangan Dun baru-baru ini menyebabkan lapan Adun PAS menguasai keadaan.


"Selepas Tuan Guru Abdul Hadi berucap, Dr Syed Azman pula bangun diikuti Haji Wahid Endut, Ustaz Harun Taib dan lain-lain lagi Adun PAS," katanya.


Krisis kepemimpinan kerajaan Terengganu terus berlarutan apabila Adun pro Idris mendesak Ahmad meletak jawatan kerana mereka mendakwa memperolehi sokongan 18 Adun BN.


Ahmad sebelum ini pernah mengugut akan memecat mana-mana Adun yang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .