Ikuti Blog ini

POLIS Nafikan... Nafi buta sebab kelongsong peluru


MENTERI Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Presiden KAFA, Annuar Musa melawat Mohd. Huzaifah Mohd. Nor yang buta mata kanan akibat terkena kelongsong gas pemedih mata FRU di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Polis menolak dakwaan seorang pelajar yang buta mata kanan kerana terkena kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini Selasa lalu.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ia berdasarkan siasatan awal dan laporan perubatan daripada doktor yang merawatnya.


Beliau berkata, dalam keadaan kelam kabut, pelbagai perkara boleh berlaku dan kemungkinan besar mangsa terkena objek keras atau mercun yang dibaling perusuh dalam rusuhan berkenaan.


"Sekiranya benar dia terkena kelongsong gas pemedih mata dari jarak dekat, kecederaannya akan lebih besar melibatkan seluruh muka dan jika dari jarak jauh, kelongsong itu tidak akan mencederakan kerana ia lembut.


"Saya telah menghubungi doktor untuk mendapatkan penjelasan dan beliau memberitahu kecederaan tersebut bukannya daripada kelongsong gas pemedih mata, kemungkinan besar objek keras lain seperti batu atau mungkin mercun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mohd. Huzaifah Mohd. Nor, 18, yang berkemungkinan hilang penglihatan kekal apabila mata kanannya dikatakan terkena serpihan kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam kelmarin.


Pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini mendakwa terkena kelongsong itu ketika membantu mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein kira-kira 100 meter di luar stadium berkenaan.


Sehubungan itu, keluarga mangsa dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menyaman polis dan pihak berwajib yang lain kerana menyebabkan kecederaan kekal terhadapnya.


Abdul Rahim berkata, ketika rusuhan tersebut berlaku, polis telah melepaskan 20 tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kira-kira 3,000 perusuh.


"Siasatan kita juga mendapati pegawai dan anggota telah melepaskan tembakan gas pemedih mata mengikut standard aturan yang ditetapkan (SOP) iaitu menghalakan 45 darjah ke atas dan bukannya menghala terus kepada manusia.


"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan seperti biasa tanpa pilih kasih dan terpulang kepada keluarga mangsa untuk menyaman polis," katanya.


Tambahnya, semua kes yang melibatkan rusuhan pada malam kejadian kini disiasat di bawah beberapa seksyen iaitu Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .