PUTRAJAYA: Parti-parti politik tidak lagi dibenarkan mengadakan barung atau pondok panas selain dilarang memancing undi ketika hari pengundian. Satu peraturan baru yang diperkenalkan SPR di PRK Penanti yang pasti kalau benar-benar berlaku akan mengurangkan lagi keriahan PRK sebagaimana biasanya.
Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri kerusi Penanti bulan depan.
Ia diputuskan susulan pertemuan dengan parti-parti politik di sini Khamis lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan langkah itu sebentar tadi.
"Bila kita buat (undang-undang larangan berkempen) selepas 12 tengah malam, maknanya tidak ada kempen pada hari berikutnya sehingga pukul 5 petang.
"Kita tak boleh tahan orang nak masuk... itu hak individu. Tetapi kalau dia berkempen atau mendirikan pondok parti serta berkempen di pondok parti, itu yang menjadi fokus penguatkuasaan ini.
"Kalau kita dapat laksanakan budaya aman dan tenang dalam pilihan raya di negara kita ini, kita sudah berjaya," katanya.