Jangan guna mahkamah nafikan hak rakyat Perak
Jika mahkamah diberi tanggungjawab untuk meleraikan kemelut politik, maka pasti penyelesaian mutlak tidak akan tercapai. Ini kerana dalam mana-mana pertikaian politik, pasti ada pihak yang akan bangkit mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pihak ketiga. Bagi golongan ini neraca, sentimen dan pertimbangan politik mereka tidak sama dengan proses membuat keputusan oleh mana-mana mahkamah.
Lantas, oleh kerana politik membabitkan kepentingan umum, setiap yang berkepentingan dalam sesuatu komuniti politik pasti mahu pihaknya sahaja yang menang. Dalam politik, kemenangan bererti berpengaruh dan berkuasa. Justeru itu tahap kesabaran dan kepasrahan kepada keputusan mahkamah di kalangan pelaku politik amat tipis. Maka sukarlah untuk mengandaikan penyelesaian yang dibuat oleh mahkamah akan bertahan.
Sehubungan itu, apapun keputusan mahkamah tidak mungkin akan memberi penyelesaian kekal kepada kemelut politik Perak. Ini kerana mahkamah akan hanya membicarakan setiap kes yang dibawa kepadanya menurut caragaya affidavit dipersembahkan; sudut pandang peguam pihak yang bertikai; nilai dan budi hakim, dan “kepentingan semasa” bagi masyarakat setempat.
Yang jelas akan berasa rugi atau dirugikan oleh keputusan mahkamah ialah pelaku politik dan rakyat jelata. Dalam kes Perak umpamanya, keputusan mahkamah akan menentukan masa depan rakyat negeri itu keseluruhannya. Bagaimanapun siapa yang menang dan dianggap pemimpin sah oleh mahkamah tidak semestinya dianggap atau diterima sebagai pemenang di hati rakyat jelata.
Rakyat walau betapa kerdil pun mereka di strata masyarakat, menganggap memilih pemimpin adalah hak politik mutlak mereka. Jika hak ini diserahkan kepada mahkamah, tentu mereka merasa kehilangan yang amat besar.
Apabila ini berlaku seperti di Perak, maka tahap kepercayaan mereka kepada pelaku politik tentulah rendah. Ini kerana sebagai pengundi, setiap pemilih akan merasakan bahawa mekanisme menentukan siapa boleh dan patut menjadi pemimpin adalah neraca dalam diri dan pemikiran politik mereka sendiri.
Justeru itu, jika Nizar Jamaluddin atau Zambry Abdul Kader dipilih menjadi Menteri Besar Perak, sudah pasti penyokong pihak yang diisytiharkan bukan Ketua eksekutif Perak akan mendapati sukar untuk menerima keputusan itu. Dalam hati kecil mereka tentu tersemat keyakinan bahawa dalam isu menentukan pemimpin, biarlah mereka sahaja yang patut menetapkannya.
Setiap ahli politik tentu faham akan sentimen ini, lebih-lebih lagi jika mereka menganggotai parti yang sudah berusia 63 tahun dan “yakin dengan keluhuran dan kesucian perjuangan” mereka. Sebab itu, parti seperti Umno pun mempunyai peraturan yang dilembagakan bahawa ahli parti tidak boleh membawa masalah dalaman parti ke mahkamah.
Pemikir dan pemimpin Umno insaf bahawa jika masalah parti dibawa ke mahkamah untuk diadili, sudah tentu ia boleh merosakkan imej parti, perpaduan parti dan juga harapan parti untuk terus memerintah. Hakikat yang perih ini sudah dialami sendiri oleh Umno pada 1988 apabila mahkamah memutuskan ia parti haram kerana proses pemilihan di beberapa peringkat bahagian tercemar dan tidak sah.
Malangnya, pemikiran dan doktrin politik ini hanya terpakai dan laku untuk Umno dan konco-konconya sahaja. Dalam percubaan membolot dan mempertahankan kuasa yang dirampas, rakyat Perak dikesampingkan. Ini dilakukan dengan menggunakan mahkamah. Dalam parti ahli Umno diajar jangan guna mahkamah kerana ia akan “menganiaya dan mengkhianati” kepentingan dan perjuangan parti. Namun di luar partinya, Najib Razak memimpin Umno supaya menggunakan mahkamah untuk menjarakkan rakyat dengan hak untuk menentukan pemimpin dan kerajaan mereka.
Tidak kira siapa dan pihak mana yang memulakan usaha menggarap kuasa politik Perak dengan menggunakan mahkamah, yang penting mahkamah tidak boleh mengganti kewarasan dan pertimbangan rakyat. Rakyat boleh menggunakan naluri, citarasa, kewarasan dan sentimen dalam membuat keputusan memilih pemimpin. Bagaimanapun mahkamah hanya membuat keputusan melalui proses teknikal yang jarang bersandarkan deria emosi.
Pemimpin-pemimpin politik mungkin sentiasa emosional dalam tugasan mereka membolot kuasa dan pengaruh, namun rakyat akan lebih waras dan saksama dalam pertimbangan politik mereka. Ini kerana rakyat sentiasa jujur dalam menentukan siapakah yang berhak diberikan kuasa. Ahli politik tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada kejujuran ini.
Kembalikan hak penentu ini kepada rakyat! Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin nampaknya akur dengan hakikat ini. Beliau mahu rakyat menentukan siapa wajar memimpin Perak. Bagaimanapun Najib sebagai Presiden Umno nampaknya masih keberatan memulangkan hak rakyat Perak ini. Adakah ini kerana Najib berasa bahawa tempoh beliau jadi Perdana Menteri masih terlalu singkat untuk dicemarkan dengan kekalahan besar di Perak? Atau, adakah kerana pengalaman politik yang dikumpulnya selama ini sebenarnya rapuh kerana ia dipupuk dalam “perkarangan kuasa anak seorang bekas perdana menteri”? Sebab itu agaknya pertimbangannya dalam kes Perak ini tidak marhaen…
http://www.tvantara.com