KOTA BHARU : - Kebangkitan PAS yang semakin hampir menggantikan Umno bagi mendominasikan kuasa politik negara turut mendapat perhatian menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini, hari ini bekas Perdana Menteri Singapura itu mengunjungi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim.
Menteri Besar berkata, pada pertemuan itu Kuan Yew ingin mengetahui hubungan PAS dengan Singapura seandainya suatu hari nanti parti tersebut menguasai politik negara.
Menjelaskan perkara itu katanya, PAS mementingkan keharmonian kehidupan dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
"Masyarakat minoriti di negeri ini seperti kaum Cina dan India diberi layanan yang serupa sehingga mereka dapat hidup dalam suasana harmonis," katanya ditemui pemberita selepas menerima kunjungan tersebut.
Menurutnya, menteri mentor negara jiran itu juga memberitahu Kelantan semakin pesat membangun dan bukannya sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini.
Katanya, beliau mendapati bandar Kota Bharu begitu bersih, bukan sebagaimana yang digambarkan sebelum ini. Di samping kehidupan rakyat juga berada dalam suasana aman.
"Allah mencipta orang Melayu, Allah juga cipta orang Cina, India dan sebagainya. Oleh kerana itu saya pandang semua rakyat di negeri ini sama sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.
"Sesiapa yang berpegang teguh kepada jalan Allah akan mendapat balasan syurga tanpa mengira bangsa atau kedudukan, sebaliknya kalau dia bersalah dengan Allah walaupun keturunan Arab akan mendapat balasan neraka," ujarnya.
Pada pertemuan singkat yang penuh bermakna itu, Kuan Yew memberitahu antara tujuannya bertemu dengan Mursyidul Am PAS untuk meninjau perkembangan politik di Kelantan.
Beliau juga berkesempatan melawat rumah ibadat masyarakat Buddha, dan menemui pemimpin pelbagai agama termasuk Kristian di sini.
"Saya pula menceritakan kepadanya antara negara pertama yang dilawati sewaktu mula-mula menjadi Menteri Besar ialah negara China. Ini kerana negara tersebut menerima Islam lebih awal berbanding Tanah Melayu.
"Saya juga menjelaskan Islam sejak awal lagi memberi kebebasan seperti hak beragama, beribadat, ekonomi dan berbagai lagi sejak awal lagi dan bukannya selepas PBB diwujudkan pada 1948," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, PBB yang bertopengkan hak asasi manusia sebenarnya hanya dikuasai lima negara kuasa besar dengan diketuai Amerika Syarikat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau berbangga menerima kunjungan hormat bekas pemimpin yang bukan sahaja dikenali di peringkat ASEAN, sebaliknya peringkat antarabangsa.
Pada pertemuan terbabit Kuan Yew juga menjemput Menteri Besar Kelantan mengadakan lawatan ke Singapura.
Pertemuan hampir sejam itu turut dihadiri Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pelajaran, Ng Eng Hen dan beberapa pegawai kedutaan Singapura.
Manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz ditemani Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Dato' Husam Musa, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Dato' Mohd Amar Abdullah. Harakahdaily.