Bagi maksud diperkatakan, BN mungkin sangat beruntung dengan keputusan Mahkamah Rayuan, 22 Mei lalu, yang membatalkan keputusan lebih awal oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah.
Lalu seluruh pendokong BN mendakwa keputusan itu paling tepat, demokratik dan berperlembagaan. Sedangkan ia secara zahir pun sudah lari dari tabiat biasa demokrasi dalam menentukan pemilihan sesebuah kerajaan.
Pihak yang sepatutnya menentukan kerajaan ialah rakyat (menerusi pilihanraya) atau wakil-wakil rakyat (menerusi persidangan DUN). Namum kes Perak membuka duluan bahawa penentuan kerajaan yang sah boleh juga dilakukan pihak ketiga, iaitu mahkamah.
Ada yang melihat dari kaca mata politik mengatakan kes Perak bakal membuka lebih banyak kes penentuan kerajaan, samada di peringkat kerajaan negeri-negeri lain mahupun pusat, tidak melalui pilihanraya atau undi tidak percaya di persidangan Dewan. Itu sebenarnya satu amaran awal buat BN bahawa kesan buruk perencanaan jahatnya di Perak bakal kembali dirasainya.
Ada juga yang menilai sudut undang-undangnya. Mereka menjangkakan kes tersebut akan menjadi rujukan berbagai pertikaian selepas ini, terutama berhubung kuasa mahkamah, bidang kuasa istana dan wibawa sebuah pilihanraya.
Kita boleh melihat kes terbaru membabitkan kepimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP) dari perspektif ini. Pertikaian mengenai kesahihan penyandang jawatan tertinggi parti itu kini memening dan memalukan BN.
Menariknya, seperti mana kes Perak menjadikan pihak ketiga (mahkamah) sebagai penentu siapa Menteri Besar yang sah, kes PPP ini pula menjadikan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai pemutus kata pertikaiannya.
Sebab itu banyak pihak masih selesa menggunakan istilah 'rampasan kuasa' bagi merujuk kepada pertukaran kerajaan Perak. Istilah yang sama juga mungkin sesuai digunapakai dalam konteks PPP.
Para pemimpin yang memihak kepada 'rampasan kuasa' dalam PPP itu barangkali telah mengambil teladan daripada tindakan dan manipulasi kuasa BN dalam kes Perak tempoh hari.
Bezanya, kes Perak itu amat dibanggakan BN, manakala kes PPP ini pula mungkin salah satu kesan buruk perancangan jahat itu yang mula kembali menimpa BN.
-dipetik dari Rencana-Fikrah-