Ikuti Blog ini

Pantun Tok Guru


Rendang kayu kerana daunnya
terpandang Melayu kerana pantunnya

Kalau berladang kurang tekun
lesap padi ditelan belukar
kalau hilang tukang pantun
senyap sunyi bandar yang besar

Kapal belayar dari arakan
selit besi jadi kemudi
mati ikan kerana umpan
mati ambo (saya) kerana budi


Tuan Puteri ke Tanjung Keling
bilah mengkuang dianyam tenang
biar isteri benci menjeling
tetaplah abang terkenang-kenang

Naik bertamu di Pulau Tawar
singgah menjala di Kampung Buntal
Pahit jeling menjadi penawar
Abang simpan di bawah bantal

Hujung rusuk patah tulang
kena tindih kayu rasak
kalau sungguh rindukan bulan
tunggu dulu lepas Isyak

Tebuk kayu dengan pahat
kelek mangkuk pakai topi
kata mahu keluar jihad
nampak tersangkut di kedai kopi?

Anak ayam turun lapan
mati seekor tinggal tujuh
harap berdoa kepada Tuhan
supaya terang jalan bersuluh

Tiang sehasta dibuat galah
berpanjang lengan kait melati
berjuang kita ke jalan Allah
biar dengan sepenuh hati

Manis sungguh dokong tuan
malam resah pelita mati
payah apa sokong bulan
mungkin susah tapi tak mati

Apa dirisau hantu jembalang
Al Quran dibaca berhari-hari
tubuh besar janggut panjang
bunyi wisel kenapa lari?

Dayung sambil pasir kemudi
air deras di Ulu Tersat
jangan diambil jalan yahudi
itu sah menuju sesat

Ikan belanak ditutup saji
saji dianyam oleh Pak Mahat
orang khianat jangan dipuji
makin dipuji makinlah jahat

Sejak kera masuk negeri
anak Merbah mati tersepak
sejak ketua sibuk mencuri
anak buah jadi perompak

Burung Punai burung Kelicap
hinggap berkawat di hujung dahan
tidak guna lawa dan kacak
jika melawan hukum Tuhan

Tanam halia tumbuh lengkuas
semak daun si api-api
apa guna kaya rasuah
esok dipanggang di atas api

Terbang kunang di tengah malam
hinggap masuk di tiang seri
tangan kanan ajak bersalam
apa maksud pisau di kiri

Hujung kota patik menanti
Orang Kaya Laksamana Bentan
tuan berkata sesuka hati
karamlah saya tujuh lautan

Tuanku umpama emas segetus
segak bertempat indah seorang
hamba umpama selipar yang putus
tiba bertempat dilupa orang

Bermamah sirih di tengah pelita
pahit mulut sampai ke pagi
beradu susuh taji pendeta
terbit suluh batil pun pergi

Biar bersambung bedilan Ferenggi
takku tinggal ini kota
Islam berbumbung di awan tinggi
mengatasi segala mainan kata

Gua Bama Sungai Hulu
Kuala Damak berbatu karang
hamba umpama dagang lalu
nasi ditanak milik orang

Rata lapang Gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
kita menumpang bumi Tuhan
jangan dibuat sesuka hati

Daun palas ikan kelah
mari diikat dengan tali
niat ikhlas kerana Allah
syirik tidak sekali-kali

Papan tualang mari diukir
buat tongkat si kayu jati
sayang malam hidup berzikir
kuat ibadat sebelum mati

Akar tersesat jambu batu
ikat kolek bertali kain
resam ibadah niat tertentu
bukan boleh di buat main

Jalan bengkok terkial-kial
sambil mengupas limau lengkap
tengokkan songkok bagikan kiyai
kenapa membaca tergagap-gagap?

Apa guna berkain batik
jika labuh berbayang-bayang
apa guna beristeri cantik
jika subuh tidak sembahyang

Teluk Rokan tempat memancing
angkat raga berisi gelas
jika ikan umpanya cacing
syarat syurga ialah ikhlas

Tunas selasih dibuat rebung
asah belati diasap damar
bercerai kasih boleh disambung
berpisah mati putuslah amal

Putus amal jika mati
itu muktamad dari Allah
cuma ada tiga kecuali
anak soleh, ilmu dan sedekah

Lantang bersahut burung bebarau
kayu jati di buat sarang
adab hidup kita bergurau
sudah mati terguling seorang

Dari Demak ke Makasar
bergalah perahu tidak berbaju
maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju

Pisang dusun kacip cekati
sireh dibilas luar rumah
saya berpantun dari hati
tuan balas tiba di rumah

Indah sungguh Tanjung Sedeli
Pulau Seratus dilambai nyonya
sepanjang mana seutas tali
akan ada terus hujungnya.

Pantun sempena merasmikan Konsert Antara Dunia 2009 anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Rabbani Production (M) Sdn Bhd.

Konsert yang berlangsung 1 Ogos lepas di Stadium Malawati Shah Alam, menampilkan tiga kumpulan gergasi nasyid tanah air seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan.

Turut membuat persembahan ialah remaja Makkah al-Mukarramah yang menamakan kumpulan mereka dengan nama Nibras serta kumpulan Shoutul Harokah, dari Partai Keadilan Sejahtera Indonesia.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .