ANALISIS
HARI ini mungkin hari bersejarah untuk penduduk Port Dickson apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menjejakkan kakinya ke pusat perlancongan antarabangsa itu.
Sebelum ini, Najib pernah ke sana. Namun, ketika itu nasibnya kurang baik. Beliau pun bukan lagi Perdana Menteri ketika itu.
Namun, beliau bernasib baik kerana mempunyai seorang rakan baik di sana iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Isa Abdul Samad. Dan masalahnya ketika itu berjaya di selesaikan.
Hari ini, Najib turun ke Port Dickson sebagai seorang Perdana Menteri. Beliau mendapat sambutan permaidani merah di sana.
Beliau menyertai para pemimpin Umno dan BN yang lain dalam majlis rumah terbuka BN di sana.
Dan hari ini juga, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin, mengumumkan Isa sebagai calon Umno Bagan Pinang. Walaupun mendapat tentangan dan bantahan secara terbuka dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, ia tidak dihiraukan oleh Najib.
Pelbagai andaian dibuat kenapa Umno pimpinan Najib sanggup meletakkan Isa sebagai calon walaupun mendapat bantahan demi bantahan.
Yang paling ketara adalah pendapat bahawa Najib sangat memerlukan kemenangan yang besar dalam pilihan raya kecil ini selepas kalah dalam tujuh pilihanraya kecil sebelum ini.
Isa adalah taruhan utama untuk kemenangan ini. Ini kerana, golongan bawahan sangat-sangat mahukan Isa kembali ke persada utama politik tanah air selepas dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno kerana membeli undi dan merasuah perwakilan Umno.
Pemilihan ini bermakna Najib menolak pandangan, memilih Isa membolehkan Umno menang di Bagan Pinang tetapi akan mengalahkan Umno di seluruh negara.
Turut dijadikan sebab mengapa Isa dipilih adalah kempen-kempen yang dibuat di Bagan Pinang termasuk menaikkan kain rentang ugutan agar Umno memilih Isa sebagai calon.
Kain rentang itu berbunyi "Kami mahu Datuk Isa. Kalau tidak kami boikot'. Kain rentang ini dinaikkan di merata tempat dalam kawasan pilihan raya ini hatta di kampung Isa sendiri.
Namun, bagi pihak yang nakal, punca utama kenapa Isa dipilih sebagai calon adalah kerana peristiwa lama di Port Dickson itu.
Najib sanggup melawan Tun Dr Mahathir, orang yang memberikan tekanan kepada Tun Abdullah Badawi agar meletakkan jawatan dan melantik Najib sebagai PM.
Najib juga sanggup berbeza pendapat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, yang secara sindiran menolak Isa sebagai calon.
Dan mungkin ini adalah pertama kali, Mahathir mempunyai pendapat yang sama dengan anggota Parlimen Rembau itu iaitu menolak Isa sebagai calon, selepas sekian lama mereka berbeza pendapat.
Sekurang-kurangnya, pilihan raya kecil Bagan Pinang menyatukan Mahathir dan Khairy, selepas sekian lama Mahathir memukul menantu Tun Abdullah itu.