Oleh: WFAUZDIN NS
Saya rasa hendak tergelak, kadang-kadang rasa hendak muntah bila mendengar kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang mengecam perhimpunan agung MIC yang dikatakan banyak mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir. Pada saya memang layak mantan PM itu dikecam kerana siapa yang tidak tahu apa yang telah Tun buat sehingga berlakunya perpecahan yang maha hebat di kalangan orang-orang Melayu ketika era pemerintahannya.
Apa yang saya ingat, perpecahan orang-orang Melayu mula berlaku ketika Ku Li menentang Tun M menjadi Presiden Umno. Tun Mahathir hampir-hampit tewas dengan aib sekali. Maka, wujudnya Parti Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu S46). Perpecahan orang-orang Melayu bermula kerana kediktatoran Tun memimpin. Apa pula yang berlaku bila Tun M memecat DS Anwar yang ketika itu adalah TPM dan Timbalan Presiden Umno? Alasan pemecatan yang terlalu bodoh dan tidak masuk akal itu menandakan taraf pemikiran Tun M yang semakin `kondem'. Beliau silap besar, beliau sangka DS Anwar sama seperti pemimpin Umno yang sentiasa boleh diperbodohkan dan sentiasa sanggup jadi `pencacai' murahan atau sampai mati mahu jadi `Gurkha' Umno. Kali ini, Tun dapat melihat hasil kerja tangannya di mana orang-orang Melayu telah berpecah lebih teruk sejurus beliau menzalimi DS Anwar.
Oleh itu, pelik apanya jika ramai yang mengecam atau mengutuk Tun M? Umno pun selepas Tun M meletak jawatan, bukan tidak ada ada pemimpinnya yang lagi kuat mengutuk dan mengecam Tun M. Tidak percaya, cuba tanya Dato' Nazri Aziz. Mukhriz anak Tun M pun tahu siapa pemimpin Umno yang selama ini kuat mengecam bapak beliau. MIC mengecam atau mengkritik Tun M memang amat wajar kerana apa pentingnya Tun berkempen menentang Presiden MIC S. Samy Vellu sekarang? Bukankah begitu lama Tun duduk `sekelambu' dengan Samy Vellu semasa pemerintahannya, tidakkah terbau olehnya `kentut' Samy Vellu itu busuk atau tidak?
Lagipun, tindakan beberapa ahli dan pimpinan MIC yang mengecam Tun M baru-baru ini tidaklah sehebat seperti kisah `semburan' ke muka Tun M yang berlaku di Kelantan dahulu. Siapa punya angkara itu? Orang-orang MIC kah? Sebenarnya pemimpin Umno lebih banyak rekod yang menghina Tun M daripada pemimpin MIC. Oleh itu, kita mengharapkan agar Pemuda Umno semak kembali kenyataan beberapa pemimpin Umno yang lebih hebat mengecam Tun M setelah Tun M tiada lagi `kuku'nya. Jika mahu Tun M sentiasa dipuji dan `dijilat', Umno perlu mengambil semula MP Pasir Mas Ibrahim Ali.