Ikuti Blog ini

Kerajaan Kelantan tidak rugi: Takiyuddin




KOTA BHARU - Kerajaan Negeri menafikan sebuah laporan blog yang menyatakan Kerajaan Negeri mengalami kerugian sebanyak RM50 juta akibat kesilapan yang dilakukan melibatkan urusan pembinaan Bazar Tok Guru.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri mendapat keuntungan daripada projek tersebut kerana mendapat sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal.

“Kita tidak rugi apa-apa. Kerajaan hanya sediakan tapak untuk dibangunkan bersama di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan sebuah syarikat, Sensa Timur Sdn Bhd untuk membina sebuah bazar. Sebagai timbal balas, syarikat itu memberikan aras satu dan dua yang bernilai RM40 juta kepada kita.

"Bagaimanapun pada mesyuarat Exco baru-baru ini, kita memutuskan untuk membeli aras bawah yang bernilai RM23 juta dan kesemua lot perniagaan terbabit akan dijual semula bagi mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan itu,” katanya, semalam.

Kelmarin Nik Abdul Aziz mengakui Kerajaan Negeri melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek embinaan Bazar Tok Guru.

Menurut blog Kickdefella, kerugian itu dikatakan melibatkan nilai sebanyak kira-kira RM50 juta iaitu RM30 juta hasil kehilangan dari pemberian tanah dan RM23 juta kerana menebus untuk mengambil balik tingkat bawah bazar tersebut.

Dalam pada itu, Takiyuddin meminta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat tersebut kerana bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi. Soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor dan memberikan maklumat yang salah," katanya.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Negeri juga tidak pernah menetapkan harga tertentu untuk semua lot perniagaan tersebut bagi dijual kepada peniaga daripada kedua-dua pasar berkenaan.

“Kita akan menjual semula lot-lot perniagaan ini setelah ia dibahagikan dengan harga belian aras bawah yang bernilai RM23 juta itu.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa tidak timbul isu Kerajaan Negeri rugi RM30 juta disebabkan nilai tanah itu kerana kita mendapat pulangan sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal,” katanya. SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .