Ikuti Blog ini

Mahasiswa Yang Berani

Khalid Nordin digesa dengar hasrat mahasiswa

Kerajaan pusat, terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi digesa supaya bersikap terbuka dan sedia mendengar hasrat mahasiswa dengan memansuhkan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus.

Gesaan itu dibuat oleh setiausaha publisiti DAP Selangor, Tiew Way Keng ketika mengulas perhimpunan kira-kira 50 mahasiswa di Putrajaya semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap e-undi, kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Semasa perhimpunan tersebut, dua pelajar dan seorang wartawan ditahan kerana didakwa tidak mengendahkan arahan polis supaya bersurai.

Mereka terdiri daripada Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Shahruddin Mohd Rosli yang merupakan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan wartawan Harakah, Zainulfaqar Yaacob.

Mohd Shahruddin dibebaskan sejurus selepas itu manakala Shazni Munir dan Zainulfaqar dibebaskan kira-kira jam 7 petang semalam setelah memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya Presint 7.

Mahasiswa yang berhimpun semalam adalah dari SMM, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pro-Mahasiswa Nasional, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).

Tiew berkata, mereka hanya pergi ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum itu kepada menteri pengajian tinggi.

“Jadi, mereka hanyalah berhimpun secara aman sebelum mereka dapat bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kementerian pengajian tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan mahasiswa tersebut bukan sahaja tidak dapat bertemu dengan menteri berkenaan tetapi dua mahasiswa itu ditahan, sebaik sahaja mereka bertemu dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Tiew, menurut Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan, hak berkumpul secara aman tanpa senjata adalah dibenarkan.

Beliau juga kecewa dengan penahanan wartawan Harakah itu kerana menurutnya ia menghalang Zainulfaqar daripada menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan.

“Menurut laporan, perhimpunan tersebut bersurai apabila pihak polis menghalang kumpulan mahasiswa daripada berkumpul di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi.

“Jadi, mengapakah pihak polis masih menyiasat dua orang mahasiswa yang ditahan itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam,” soalnya.

Tiew juga menggesa kementerian pengajian tinggi supaya memansuhkan sistem e-undi dan memastikan pilihan raya kampus dijalankan dengan adil dan bersih.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .