Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Shafie Hashim berkata, perarakan aman akan diadakan selepas solat Jumaat esok.
"Perarakan tersebut bagi menggambarkan rasa tidak puas hati mahasiswa terhadap demokrasi kampus yang dianggap mereka sudah mati," katanya.
Keputusan pilihan raya kampus UM, Khamis lalu digantung selepas ratusan mahasiswa daripada pro-M, berdemonstrasi dan menuduh berlakunya penyelewengan.
Susulan itu berlaku ketegangan menyebabkan Naib Canselor, Prof Datuk Ghauth Jasmon bersama 10 pelajar mahasiswa dari kumpulan itu berunding lebih empat jam berhubung perkara itu, pada keesokan harinya.
Dalam rundingan tersebut, Ghauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M melantik perunding bagi menguji sistem undian elektronik (e-undi) yang didakwa mereka dimanipulasikan.
Pilihan raya itu menyaksikan kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) berjaya menguasai UM dengan memenangi 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi pro-M.
Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.
Bagaimanapun semalam Ghauth dilaporkan berkata keputusan pilihan raya Khamis lalu, sah dan kekal serta tidak perlu diadakan pilihan raya semula.
Ia ekoran siasatan pihaknya mendapati tiada masalah dengan sistem pengundian berkomputer (e-undi) dan bantahan mahasiswa tidak memberi kesan kepada keputusan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie menjangka kira-kira 500 mahasiswa akan menyertai perarakan aman itu dengan membawa beberapa kain rentang dan poster bantahan mereka.
Mahasiswa dari unversiti yang lain turut dijemput untuk bersama menyokong perarakan tersebut, tambahnya.
"Kita sudah membuat persediaan untuk tujuan keselamatan esok. Kita akan mengawal penyokong kita dari melakukan provokasi. Kita akan mengingatkan mahasiswa.
"Kita berharap tidak ada pihak yang menghalang kita. Harap keadaan (esok) tenang dan tidak ada sebarang gangguan," katanya.
Menurutnya, kumpulan itu juga telah menyiapkan kira-kira 2,000 risalah bersaiz B5 tentang kronologi bantahan mereka, untuk diedarkan kepada orang ramai.