 KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis  Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan  yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku  Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar)  adalah tidak sah.
KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis  Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan  yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku  Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar)  adalah tidak sah.
“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang  dibuat oleh YB Mulia  Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis  Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan  pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai  Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan  Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.
Kata beliau  Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan  memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan  menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga  daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan  itu.
Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah  bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis  Perajaan Negeri bersidang.
“Ini jelas bahawa tindakan di atas  adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak  terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad  Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.
Pagi  tadi Wan Hashim yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan  mengumumkan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan  sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa hari ini. Beliau digantikan oleh  Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah iaitu  bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan.
Sedangkan semalam  Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menjelaskan  hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Negeri mempunyai kuasa sekarang  memandangkan Sultan Kelantan masih gering.
Mohd Aiseri yang juga  Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berkata, Pemangku Raja  dilantik di atas sebab Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas  hal ehwal negeri.
Mengikut Perkara 22A(1)(b) Undang-undang  Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Kedua, maka Pemangku Raja  akan terus menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehinga  Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan seterusnya berdasarkan  undang-undang.
Mohd Aiseri juga berkata, majlis pengurniaan  pingat dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Sultan  Kelantan tetap akan diadakan di Balai Besar pada 30 Mac ini.
"Malam  ini akan diadakan solat hajat di Masjid Muhammadi yang dijangka  dihadiri pemimpin kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan,”  katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata,  kerajaan negeri berdiri teguh di belakang Pemangku Raja berdasar kepada  peruntukan undang-undang.
Ditanya cadangan Kelab Penyokong  Kerajaan Negeri supaya diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi  menyelesaikan konflik membabitkan istana, katanya ia dianggap tidak  perlu buat masa ini kerana undang-undang yang ada sudah cukup jelas.
Pengerusi  Persatuan Pegawai Tadbir Negeri, Shafei Ismail berkata, persatuan  berkenaan tetap dengan berpendirian awal mendokong Pemangku Raja  berdasar kepada undang-undang. - Hrkh.


 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
