KOTA BHARU, 9 Jun: Wajah bandar Kota Bharu kini semakin ditenggelami dengan warna hijau apabila bendera ‘bulan purnama’ dipasang di jalan-jalan utama menjelang muktamar PAS kali ke-56 Jumaat ini. Banner yang tertera gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang boleh dilihat di jalan-jalan utama. Papan iklan gergasi bagi mengalu-alukan kedatangan perwakilan dan pemerhati dipasang di beberapa lokasi di bandar ini dan sekitar Pengkalan Chepa. Perasmian serentak Dewan Ulamak, Muslimat dan Dewan Pemuda akan diadakan pada malam ini bertempat di dewan utama Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa. Manakala muktamar penuh ketiga-tiga dewan diadakan di tempat berasingan. Dewan Ulamak di Markas Dewan Ulamak PAS Kelantan (Madu) di Labok, Machang. Dewan Muslimat di Perdana Resort dan Dewan Pemuda di Kelantan Trade Centre. Muktamar penuh akan diadakan di Putik mulai Jumaat. Kerja-kerja akhir mempersiapkan dewan besar Putik kini selesai sepenuhnya. Manakala tempat pameran agensi kerajaan dan swasta juga disiapkan. Kawasan sekitar Putik mulai meriah dan bergemerlapan cahaya pada waktu malam. Perwakilan dan pemerhati tiga dewan mulai kelihatan sekitar Putik. Manakala jualan di tapak ekspo bermula malam tadi. Di tapak itu juga diadakan ceramah pembukaan oleh anggota jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan annggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah. |