Ikuti Blog ini

Halau APCO jika serius bantah Israel



Pemuda Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera menghalau APCO Worldwide dari negara ini sekiranya serius membantah tindakan tentera rejim zionis menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Gaza, Isnin lalu.

Di dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di sini kira-kira jam 11.40 pagi tadi, mereka juga berharap Najib tidak hipokrit berhubung perkara itu.

Memerandum tersebut diterima Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim.

Hadir pada penyerahan memorandum itu ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin, Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

"Kalau tidak dapat hantar tentera kita sekalipun, cukuplah dengan menghalau Apco.

"Itu adalah perjuangan paling kecil bagi Malaysia membela rakyat Palestin," kata Khairul Anwar atau lebih dikenali sebagai Jonah.

Pemuda Pakatan juga melahirkan rasa kesal dengan sikap Perdana Menteri yang lambat menyatakan bantahan, perlahan dan tidak tegas kerajaan dalam memberikan respons terhadap serangan ganas tentera laut rejim haram Israel ke atas konvoi kemanusiaan Gaza itu.

Mereka juga mendesak kerajaan memutuskan hubungan perdagangan ekonomi dan diplomatik dengan pihak mempunyai hubungan dengan zionis Israel termasuk pegangan-pegangan saham yang berkaitan.

"Kerajaan Malaysia pada waktu ini mempunyai pegangan saham sebanyak 31% di Pantai Holding Berhad iaitu anak syarikat kepada Parkway Holdings Limited yang dimiliki pelobi besar Zionis, Richard C Blum.

"Kita juga membangkitkan isu syarikat Asiasoft yang berpengkalan di Telaviv yang terlibat dalam mengendalikan sistem komputer Polis Di Raja Malaysia, yang sehingga kini belum dijawab perdana menteri," jelas Shamsul.

Selain itu, mereka mencadangkan Najib mengadakan sidang Parlimen khas pada pagi Khamis dan Jumaat ini sebagai menyatakan bantahan berhubung serangan tersebut.

Mereka juga mempelawa Najib turut serta pada demonstarsi besar-besaran pada 4 Jun ini di hadapan Kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

"Dunia hanya melihat dengan mata yang buta, telinga yang pekak ratusan ribu rakyat Gaza terkepung oleh kejahatan Zionis.

"Kita minta Najib dengan kuasa negara yang ada lebih proaktif memberi tekanan kepada Israel," kata Kamaruzaman.

Dalam pada itu, mereka turut memaklumkan akan mengadakan bantahan di hadapan pejabat Apco beberapa hari lagi.

Bantahan tersebut kata mereka bagi menghalau syarikat berkaitan Zionis Israel tersebut dari bumi Malaysia.-Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .