Ikuti Blog ini

PAS ziarah keluarga wartawan Awani

ALOR SETAR, 2 Jun: Tiada khabar yang lebih menggembirakan seorang ibu selain mendengar sendiri suara anak tunggalnya yang diberitakan telah ditahan oleh rejim zionis Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian yang terjadi kepada Wan Mahfuzah Wan Jamil, ibu kepada wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, yang ditahan bersama-sama dengan 12 rakyat Malaysia, Isnin lalu.

Wan Mafuzah ketika dikunjungi di rumahnya di Lorong Kampung Pisang, Jalan Kanchut, dekat sini dapat mendengar sendiri lintas langsung melalui siaran Astro Awani di mana Ashwad sedang melaporkan keadaan di sempadan Jordan yang mana rakyat Malaysia yang ditahan telah dibebaskan.

Kira-kira 15 minit selepas itu, Ashwad sendiri telah menelefon ibunya itu dan sempat berbual kira-kira lima minit bersama Wan Mahfuzah dan bapanya, Ismail Yaakub.

Wan Mafuzah dan Ismail mengucapkan syukur dengan keadaan anak mereka dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan.

Terdahulu, pimpinan PAS diketuai Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar menziarahi Wan Mafuzah dan Ismail di kediaman mereka dan mengadakan majlis bacaan Yaasin dan doa selamat.

Turut serta, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ustaz Ahmad 'Izzat Shauki, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Hayati Othman dan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Datuk Rohsidi Osman dan Setiausaha PAS Alor Setar, Adnan Saad.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mahfuz melahirkan rasa syukur dengan perkembangan semasa dan berharap agar masyarakat Malaysia dan seluruh dunia memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza itu.

"Saya minta Yang di-Pertuan Agong memberikan anugerah kepada semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi ini kerana keberanian yang telah mereka tunjukkan serta telah mengharumkan nama negara.

"Begitu juga kepada Ashawad, saya berharap kepada kerajaan negeri dan juga perkenan Tuanku Sultan untuk memberikan penghargaan kepada Ashwad selaku rakyat negeri ini yang telah mengharumkan nama negera dan negeri Kedah," ujarnya. -Hrkh

PENGALAMAN 28 JAM ASWARD ISMAIL

Ashwad Ismail, 26 menceritakan pengalaman sepanjang beliau dan rakan-rakan yang lain memperlihatkan bagaimana layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.


Katanya kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi.

“Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter,” katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

“Kami diserang bertubi bertubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu,” katanya.

“Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah ... ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam,” tambah beliau.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .