Ikuti Blog ini

Kenyataan Muhyiddin ugut orang Melayu

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kuasa politik orang Melayu sebagai satu ugutan.

Katanya, kenyataan itu merupakan ugutan kepada orang Melayu kerana Umno gagal menangani masalah ekonomi di antara kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno itu yang mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.

"Kenyataan pimpinan Umno mengugut dan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat Melayu, perkembangan pollitik yang berlaku sekarang ini menggugat kedudukan dan kuasa Melayu.

"Sekarang jurang pendapatan antara kaum semakin melebar. Umno gagal tangani perkara ini. Melayu ini bukan golongan terkaya yang memimpin Umno dan kroni mereka. Melayu ini ialah puluhan juta bumiputera yang perlu diberi perhatian dan pembelaan," katanya.

Anwar menambah, pemimpin Umno sedang menggunakan 'wacana' baru apabila kedudukan mereka semakin terancam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kesatuan yang dibina dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS, PKR dan DAP yang sebenarnya menjadi kebimbangan pemimpin Umno/BN.

Tegasnya, kekuatan PR langsung tidak menggugat kuasa politik Melayu malah beliau yakin masyarakat Melayu dan kaum bumiputera lain berasa lebih selamat di bawah pentadbiran PR.

"Ini saya perlu tegaskan kerana ini satu wacana baru yang diguna Umno di kala (mereka) terhimpit. Kekuatan yang dibina dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP sebenarnya menggugat pimpinan Umno dan tidak menggugat kuasa politik Melayu.

“Malah saya berkeyakinan hak Melayu, nasib masyarakat Melayu, kaum bumiputera lain seperti Iban, Kadazan dan lain-lain akan lebih diberi perhatian kerana dasar kita jelas memacu ekonomi dan menghapuskan penyelewengan, pemborosan dan membela nasib rakyat miskin yang terpinggir," katanya yang juga penasihat PKR.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataaan berbau kebimbangan pemimpin Umno itu membuktikan mereka mengiktiraf PR sebagai pakatan yang mula diterima dan diyakini oleh orang Melayu.

"Ini satu gambaran pengiktirafan memperakui bahawa Pakatan Rakyat sebenarnnya mendapat sokongan yang besar daripada masyarakat Melayu. Oleh kerana mereka takut kehilangan kuasa, jadi mereka cuba menakut-nakutkan orang Melayu.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut menganggap Umno sedang menggunakan pendekatan lapuk untuk mewujudkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat Melayu.

"Saya anggap pendekatan ini satu pendekatan lapuk yang sudah tidak relevan dengan suasana politik semasa yang harus dibakul sampah dan telah pun dibakul sampah oleh rakyat.

"Saya lihat Umno masih terkebelakang sdangkan pemikiran rakyat pelbagai kaum sudah ke hadapan melihat satu perubahan kepada Malaysia baru," katanya.

Tegasnya juga, PAS memberikan jaminan untuk membawa pendekatan yang menekankan soal keadilan kepada semua kaum.

"Kami daripada PAS memberi keyakinan bahawa pendekatan yang kita bawa ialah soal keadilan untuk semua kaum, dan tidak perlu Melayu harus bimbang dengan situasi hari ini," katanya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .