Ikuti Blog ini

Pakatan dahului BN daftar pemilih baru, DAP terus agresif



PUTRAJAYA, 18 Julai — Mendaftar pemilih baru menerusi penolong pendaftar oleh parti politik muncul kaedah paling popular manakala Pakatan Rakyat (PR) lebih agresif mengambil peluang ini dengan bilangan didaftar oleh ikatan itu sepanjang enam bulan pertama tahun ini dua kali lebih besar berbanding Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, DAP masih jauh di depan dengan mendahului lebih dua dozen parti politik negara ini dalam mendaftar pemilih-pemilih baru menggunakan kaedah ini sepanjang tempoh yang sama.

PR juga mendahului pendaftaran pemilih di negeri-negeri yang dikuasai mereka selain mengatasi BN di Johor - yang dianggap sebagai kubu kuatnya selama ini.

‘Kek’ dikuasai DAP sebagai parti individu adalah sebanyak 32.5 peratus dan diikuti dengan dekat oleh Umno yang menguasai 32.3 peratus manakala PAS pula 22.7 peratus.

PR, yang terdiri daripada tiga komponen iaitu DAP-PAS-PAS, telah mendaftarkan 107,050 pemilih baru di negeri-negeri di Semenanjung.

Ketiga-tiga komponen itu lebih agresif di negeri-negeri di Semenanjung.

Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan, seramai 169,838 orang telah didaftarkan oleh parti-parti politik antara Januari dan Jun tahun ini.

Gandingan empat komponen BN di Semenanjung menyaksikan pendaftaran pemilih seramai 59,351 orang.

Prestasi BN ditambah hampir 3,500 lagi pemilih baru dari Sabah dan Sarawak. BN mempunyai 13 komponen termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Perangkaan SPR itu juga menunjukkan daripada 107,050 pemilih baru yang dikumpulkan oleh PR, separuh daripadanya disumbangkan oleh penolong pendaftar lantikan DAP.

Setakat Mei lalu daripada 2,248 penolong pendaftar yang telah diluluskan SPR, Umno mempunyai 664 orang, MCA (182), MIC (208), Gerakan (91), PAS (427), PKR (172), DAP (245), PPP (40) dan PRM (13).

PBS pula lapan penolong pendaftar, SAPP (lapan), UPKO (10), LDP (empat), PBRS (enam), PBB (88), SUPP (44), SPDP (29), PRS (lapan) dan Snap (satu).

PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,631 dan 13,098 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu.

Di Semenanjung, MCA telah mendaftarkan seramai 2,897 pemilih baru dengan diikuti MIC 1,109, Gerakan (471) dan PPP pula empat.

Dalam usaha mengurangkan bilangan mereka yang layak tetapi masih belum mendaftar, yang dianggarkan 4.4 juta orang setakat ini, SPR menggunakan program ‘outreach’, kemudahan kaunter statik pejabat pilihan raya, penolong pendaftar melibatkan parti-parti politik dan wakil jabatan dan kaunter pejabat pos.

Penolong pendaftar parti-parti politik menyumbangkan lebih separuh pendaftaran pemilih baru.

Misalnya sepanjang bulan Mei tahun ini sahaja seramai 28,604 atau 55 peratus daripada 51,358 pendaftaran baru adalah datang daripada khidmat penolong pendaftar.

Analisis perangkaan itu juga menunjukkan meskipun pilihan raya umum Sarawak disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, tetapi bilangan pendaftaran pemilih baru di negeri itu masih kecil berbanding negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, daripada 4.4 juta yang belum setakat suku pertama tahun ini seramai 33.7 peratus dan 26 peratus masing-masing merupakan penduduk Sarawak dan Sabah.

Umno aktif di Sabah manakala PKR dan DAP memperlihatkan kesungguhan di Sarawak.

Dari segi pecahan negeri, sebahagian besar negeri-negeri yang dikuasai PR menyaksikan parti-parti politik ikatan itu menggunakan kemudahan penolong pendaftar untuk mendaftarkan lebih ramai pemilih baru iaitu di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah serta Perak.

Kelima-lima negeri itu dikuasai PR pada 8 Mac lalu tetapi Perak jatuh ke tangan BN awal tahun lalu.

Komponen PR mengatasi BN di kelima-lima negeri itu.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan 10 daripada 11 kerusi Parlimennya jatuh ke tangan PR pada pilihan raya umum 2008 juga menyaksikan ikatan itu menguasai pendaftaran pemilih baru.

Pun begitu secara mengejutkan Johor menduduki tempat teratas pendaftaran pemilih baru menggunakan kaedah ini.

Sekali lagi hampir 60 peratus pengundi baru yang didaftar oleh penolong pendaftar parti-parti politik datang daripada PR.

Bagaimanapun di Terengganu dengan hampir separuh pemilih baru yang didaftarkan menggunakan kaedah penolong pendaftar adalah sumbangan BN khususnya Umno.

-malaysianinsider.com

Jika SPR benar-benar inginkan rakyat Malaysia berhak untuk mengundi, sudah pasti tidak timbul isu pendaftaran pemilih baru, kerana ianya hanyalah proses yang mudah dengan pendaftaran secara automatik oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk setiap rakyat yang telah cukup umur untuk mengundi.-Ajijoi
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .