Ikuti Blog ini

Muhyiddin: Malaysia Lebih Untung Jika Tidak Ada Perbicaraan Anwar

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekali lagi menimbulkan keraguan mengenai tahap sokongannya kepada Datuk Seri Najib Razak apabila berkata Malaysia tentunya berupaya menarik lebih banyak pelabur jika tidak ada pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim.

"Memang betullah jika tidak ada kes seperti itu, Malaysia akan jadi lebih menarik. Maka, biarlah mahkamah menentukannya... lebih cepat kes itu diselesaikan, lebih baik bagi kita, Bernama memetik Muhyiddin sebagai berkata.

"Jika ditanya secara peribadi, jika saya mahu melihat kes ini terjadi dalam mahkamah Malaysia, saya tidak mahu ianya berlaku di mahkamah Malaysia. Saya ingin agar Malaysia bebas daripada semua ini,” tambah Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata kes Anwar tidak ada kena-mengena dengan kerajaan.

Muhyiddin mengulas kenyataan pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson, bahawa perbicaraan melibatkan Anwar telah menjejaskan reputasi Malaysia dan meminta Najib untuk campurtangan bagi memastikan keadilan untuk mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Kenyataan Muhyiddin itu dilihat sebagai cubaan lemah untuk mempertahankan kritikan antarabangsa dan di dalam negara terhadap Najib dalam menangani isu pendakwaan Anwar atas tuduhan liwat.

Ramai pihak menganggap tuduhan itu mempunyai motif politik, lebih-lebih lagi selepas pengadu Saiful Bukhari Azlan mengaku berjumpa Najib dua hari sebelum membuat laporan polis.

Najib pada mulanya enggan mengaku berjumpa dengan Saiful tetapi kemudian mengubah nada selepas perjumpaan itu didedahkan dalam blog-blog dan portal berita.

Pendakwaan terhadap Anwar diteruskan walaupun pemeriksaan pakar mendapati tidak ada tusukan pada dubur Saiful untuk menyokong dakwaan kononnya beliau mangsa liwat.

Peguam Anwar juga gagal mendapatkan keterangan yang diberi oleh Saiful kepada polis atau sampel bahan bukti lain untuk menyediakan pembelaan anak guam mereka.

Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan untuk menggugurkan kes itu walaupun menerima bahawa Saiful mengadakan hubungan sulit dengan pendakwaraya kes itu.

Semua ini menguatkan persepsi bahawa Anwar sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik yang meperalatkan polis dan badan kehakiman.

Muhyiddin sebelum ini dilihat sebagai memperlekehkan konsep 1Malaysia yang dicanang oleh Najib apabila berkata beliau menganggap dirinya berjiwa Melayu lebih daripada anak Malaysia.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .