KUALA  LUMPUR 29 SEPT :  Polis tidak menerima laporan berhubung  kehilangan  usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja sebaliknya hanya  menerima  laporan berkaitan penipuan yang didakwa dilakukan oanggota  polis Bukit  Aman bagi "membebaskan" usahawan dari Chennai itu 29 Mac  lepas.
  
Timbalan  Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail  menolak dakwaan keluarga mangsa  kononnya polis tidak bertindak  sewajarnya untuk menyiasat kehilangan  usahawan berusia 34 tahun itu  sejak awal tahun ini.
 
"Kita  sahkan ada terima laporan pada 29  Mac lepas di Balai Polis Klang oleh  abang mangsa, Dr Kasi Viswanathan,  berhubung penipuan yang didakwa  dilakukan oleh "Polis Bukit Aman" yang  meminta sejumlah bayaran bagi  membebaskan usahawan India itu. Jadi pada  masa itu kita siasat kes  tersebut di bawah penipuan.
 
"Polis  kemudian bertindak dan  menyiasat kes tersebut sebagai orang hilang  apabila satu laporan dibuat  oleh isterinya, Usharani pada 8 Sept lepas,"  katanya pada sidang  akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
 
Beliau  berkata walaupun pada awalnya kes itu disiasat bagi kes penipuan,
namun  pada masa yang sama polis telah berusaha untuk menjejaki usahawan itu.
"Pegawai  penyiasat telahpun cuba mengesan Muthuraja, namun tidak  berhasil,  sehinggalah pada 8 Sept lepas, apabila satu laporan dibuat  tentang  kehilangan Muthuraja, barulah kita siasat lebih mendalam lagi  dengan  kaitannya dengan siasatan kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati  Lawiya  serta tiga individu lain," katanya.
 
Beliau meminta  ahli  keluarga Muthuraja agar memberi ruang kepada polis menjalankan  siasatan  kes itu secara terperinci dan meminta mereka mendapatkan sumber  yang  sahih untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini terhadap  siasatan  itu.
 
"Untuk mengelakkan daripada mendapat maklumat  daripada  individu-individu atau mana-mana pihak yang tiada kaitan dengan  kes  ini, kita telah melantik pegawai penghubung untuk menyalurkan  sebarang  maklumat kepada keluarga mangsa," katanya.
 
Hussin  berkata  ekoran laporan kehilangan usahawan itu, polis telah menahan dua  lelaki  tempatan secara berasingan iaitu di Taman Wilayah, Selayang dan  Kampung  Laksamana, Batu Caves sejak 10 hari lepas.
 
Ketika  diminta  mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan  Sosilawati  yang tamat Jumaat ini, Hussin berkata polis belum membuat  sebarang  keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima  suspek  terbabit.


