Ikuti Blog ini

Ciuman Kasturi Buat Nik Aziz: Sempena Genap 20 Tahun Mentadbir Kelantan


MEREKA atau individu yang merasakan saya sebagai seorang peminat kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak percaya kalau saya sudah tidak bertemu muka dan bersalaman dengan beliau hampir tiga tahun.

Apa lagi orang masih melihat konteks batin dan naluri kemanusiaan saya dengan beliau cukup kuat. Ia tercermin di mana-mana saja akan hal ini. Kandatipun saya sesekali mengkritik beliau, tetapi kritikan itu akan lebih mengemenkan lagi tali konteks batin saya dengan beliau. Orang tahu dan beliau sendiri tahu bahawa kritikan saya tidak lebih daripada sang ibu kerbau yang menanduk anaknya kerana ingin memberi peringatan. Sesungguhnya tandukan itu tidak akan merodak ke hulu hati si anak yang mulia.

Antara saya dengan beliau ada perjanjian dan ba'iah yang tidak mungkin difahami oleh sesiapa. Hanya kami saja yang sedia maklum. Apakah lafaz dan ikrar hanya terbungkus dalam hati kami yang disaksikan malaikat di kiri dan di kanan. Ianya sangat peribadi untuk diangkatkan di sini. Justeru atas kekemasan tali perhubungan itu saya tidak pernah merasakan yang Tok Guru terkedu hati atau marahkan saya, kalau saya jadi sebaliknya. Tidak..

Rasanya ketika Tok Guruku itu sedang berbulan madu dengan sambutan sempena genap 20 tahun pentadbirannya selaku MB Kelantan dewasa ini tidak elok kalau saya mencungkilkan sebab musabab kenapa saya tidak bertemu muka dengannya. Biarlah ia menjadi sebahagian sejarah antara kami - terutamanya saya. Mungkin dilain lembaran dan keadaan akan diceritakan kenapa saya merajuk sendiri tanpa diketahui pun oleh Tok Guru.

Namun beliau tahu akan sebab musabab perenggangan itu. Tahu sangat. Selalunya kalau saya lama tidak muncul di Kelantan ataupun berada di laluan di mana-mana dewan untuk beliau menuju ke pentas untuk bersalam dan mencium tangannya, dia akan bertanya kenapa, lama tidak timbul kalau beliau merasakan saya lama tidak menemuinya? Atau pun akan bertanya sihat ke dan buku baru apa judulnya?

Apabila beliau bertanya demikian saya mengira dia mengunci segala pergerakan saya dalam mata politiknya.

Hari ini atau tepatnya 21 Oktober lalu genap 20 tahun Tok Guru menerajui Kelantan Darulnaim sebagai MB. Satu kejayaan besar dan rekod tersendiri buatnya. Saya mengira rekod ini tidak mungkin akan terpecah oleh mana-mana tokoh baik dari Pas ataupun Umno selepas ini. Dua dekad, satu jangka masa terlalu panjang dan menunjukkan betapa stabilnya pemerintahan seseorang itu dalam politik kontemporari ini. Pastinya tanpa ada senjata ampuh dan politik bijaksana yang tidak akan sampai ke tahap itu. Dalam hal ini pada saya Tok Guru memiliki cenduai politik yang sangat menyerap.

Kalau orang Umno berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir Mohamad menjadi PM selama 22 tahun, maka orang Pas juga perlu berbangga dengan pencapaian Tok Guru Nik Aziz itu. Bahkan orang Pas patut merasakan mereka merasakan kebanggaan mutlak kerana pencapaian Nik Aziz bukan atas politik adu domba, politik menggunakan kuasa tetapi politik kesedarhanaan dan tulus ikhlas. Mahathir berjaya menjadi PM kerana kelicitan beliau menyingkir seorang demi seorang musuh politiknya tanpa berhati perut.

Mahathir singkar Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu perlawanan penuh misteri dan tertanya-tanya sampai kini tahun 1987. Ada berpendapat kekalahan Tengku Razaleigh hanya dengan 53 undi adalah kekalahan yang palsu. Selepas itu Dr Mahathir meyingkirkan Musa Hitam. Terbaru dan amat menghuruharakan parti itu menyingkirkan Anwar Ibrahim menerusi satu konspirasi yang memalukan ummah dan negara tahun 1998.

Namun tidak begitu dengan Tok Guruku Nik Aziz. Dia tidak menyingkir sesiapa, dia tidak memanipulasikan kuasa dan kedudukannya untuk terus kekal dan tercokol di atas kerusinya. Beliau bukan bersikap autokrasi untuk mengekalkan diri atas jemala kekuasaan. Sebaliknya dia diminta dan dirayu oleh rakyat. Disokong dan didoa oleh rakyat. Jadi sokongan rakyat kepadanya lebih kudus dan murni daripada kekaguman kepada Mahathir Mohamad.

Barang kali tidak melampau kalau dikatakan, jikalau Allah tidak memberi kesempatan Pas memerintah Malaysia, tetapi cukup bagi orang Pas buat ketika ini menerima kehadiran Nik Aziz sebagai MB Kelantan dan mana aura kehebatannya turut sama dirasai oleh segenap lapisan rakyat dan jiwa negara ini.

Saya sebagai peminat beliau sedari kecil bebangga atas pencapaian Tok Guru. Syabas dan tahniah. Sebenarnya wajar kalau Tok Guru mampu melalui dua dekad pentadbiran atau lebih panjang dari itu. Kekuatan yang ada kepadanya bukan memanipulasi kuasa politik tetapi ia adalah rahmat dan pertolongan Allah. Beliau tidak berlawan dengan musuh menerusi politik struggle tetapi dengan menyerah kepada Allah. Itu saja senjata utama baginya berdoa dan meminta keredhaan Allah.

Kalau Nik Aziz mengharapkan kepada kuasa politik semata-mata pasti dia tidak akan sampai ke takah itu. Dia akan mati di tengah jalan. Dia tidak bermain dengan kuasa politik dan menjadikan nafsu sebagai pengawalnya. Keikhlasannya membimbing dia terus untuk memerintah Kelantan. Sekali lagi doa menjadi senjata dan perawat sukadukanya. Yang memberi kekuatan dan daya istiqamah yang tinggi.

Dalam melihat perjalanan politik Tok Guru sebagai MB dan ahli siasah, bohonglah kalau di sepanjang dua dekad itu beliau tidak pernah dibaham kedukaan atau tidak menangis. Atau tidak pernah dioleng rasa cemas dan walang atas permainan pihak musuh.

Atas sifatnya sebagai manusia biasa, beliau juga tidak dapat terlepas dari segala pencaroba itu. Selaku peminatnya dan pendamping secara halimunan saya menyaksikan akan detik-detik yang memberi cemas kepadanya. Detik-detik menjadikan dia menggeletar dan takut kepada Allah kerana tidak dapat terus menjaga negerinya sekiranya kekuasaan Islam menerusi Pas hilang.

Ada dua peristiwa yang berlaku di depan mata dan ini juga dapat dirasai oleh rakyat seluruhnya bagaimana Tok Guru pernah berada dalam keadaan cemas yang membimbangkan. Pertama ialah ketika berlaku krisis dengan pihak istana Kelantan tahun 195 selepas Tengku Razaleigh menguburkan Semangat 46. Kerana waktu itu istana diperalatkan oleh golongan tertentu telah menganggu Tok Guru Nik Aziz. Tugas dan tanggungjawabnya sebagai MB dicabar dan diganggu. Matlamatnya satu mahu melemahkah kerajaan Tok Guru.

Dengan krisis ini sehingga berlaku sesuatu yang tidak seharusnya berlaku yang rasanya tidak manis untuk disebut semula di sini. Dalam krisis ini Tok Guru dihina sebagai manusia dan MB. Beliau seakan akan hilang segalanya, termasuk kerajaan Kelantan. Namun berkat kesabaran dan doa akhirnya krisis itu mereda dan keadaan kembali pulih. Pihak yang memusuhinya juga akhirnya mengangkat tangan surrender atas kebenaran.

Bayangkan kalau bukan sembarangan orang mesti tewas dalam mengharungi krisis berkenaan. Betapa bukan kecilnya krisis itu bila mana seorang MB dinafikan haknya dan huluran salamnya tidak mahu disambut oleh sultan. Kejadian ini bukan dalam kamar sempit tersembunyi tetapi di khalayak. Peritiwa itu penakanya mahu melondehkan maruah Tok Guru itu.

Beluam ada sejarah dalam politik negara ini MB yang berkrisis dengan MB dapat meneruskan pentadbirannya. Seorang demi seorang MB yang menghadapi masalah dengan sultan akhirnya membungkus tikar bantal pulang ke rumah. Namun ini tidak terjadi kepada Tok Guru. Pihak istana yang mendapat nasihat tidak betul akhirnya kembali ke jalan benar, menerima Tok Guru sebagai memanda menteri semula yang bertakwa dan beriman. Semua ini ialah kerana pendekatan dan sikap tasamuh diamalkan oleh Tok Guru yang senantiasa berdoa siang dan malam meminta Allah menunjukkan kebaikan kepada semua.

Saat cemas kedua yang saya saksi ialah pada malam keputusan pilihan raya umum ke 11 tahun 2004. Tidak ada detik dan suasana yang saya rasakan telah menelorkan kerimasan begitu dahysat kepada seorang Tok Guru dan MB. Semuanya kerana Pas kehilangan banyak kerusi. Beliau begitu bimbang sekali Pas akan kehilangan kerajaan, namun disudut hati kecilnya kalau kehilangan itu demi kebaikan tentu beliau redha.

Sepanjang malam itu di atas pejabat Pas di Jalan Dato' Pati Kota Bharu beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Tuhan. Sedulang buah-buahan yang dihidang untuk menghambat kerisauan sementara menunggu keputusan langsung tidak disentuh. Wajahnya juga muram durja. Tatkala ada perkhabaran jahat mengatakan BN sudah menguasi 2/3 kerusi Dun Kelantan, saya nampak wajahnya pucat dan beliau kelihatan nanar untuk mencari bilik air bagi mengambil wuduk mendirikan solat bagi mendamaikan jiwa.

Tiada kesayuan pada saya melebihi kesayuan malam itu melihat keadaan Tok Guru. Kalaulah malam itu saya boleh membeli tunai segala keresahan dan kewalangannya, tentu sekali saya akan memborongnya semua sekali. Tidak rela melihat seorang tok guru semulia dan seikhlas itu berdukadurja begitu. Tetapi, inilah kelebihan Tok Guru dan orang yang bergantung kepada Tuhan. Baginya apa yang akan berlaku semuanya atas kehendak Allah dan manusia tidak boleh menghalangnya.

Selepas itu tidak ada lagi bala besar yang menimpa dirinya. Kalau pun ada ada cerita-cerita dalaman parti yang boleh membingkitkan telinganya. Semuanya dapat diatasi dengan sikap tawaqus dan doa memanjang. Sikap adil atas kebenaran dan sikap tegas kerana kebenaran menjadikan ubat atas segala itu. Justeru mereka yang cuba untu mengkhinatinya menjadi relai dan insaf sendiri.

Paling akhir ialah serangan jahat ke atasnya yang cuba menghancurkan personaliti beliau sebagai seorang tok guru. Serangan ini dibuat berangkaian dengan serangan ke atas anak menantunya. Tuduhan kononnya beliau menerima rasuah untuk mengerjakan haji adalah satu perbuatan jahat yang sungguh tidak bermoral dan keji. Ia benar-benar mengilan dan mendukacitakan hati Tok Guru berkenaan. Malahan rakyat Kelantan yang tidak berpihak kepada mana-mana warna parti juga kesal atas fitnah melampau itu.

Sekali lagi atas kesabaran dan kebenaran beliau berjaya mengatasi segalanya. Dan kekecewaan itu telah digandakan pula oleh Tuhan, di mana tahun ini beliau dikatakan akan mengerjakan haji, bersama Sultan Mohamad Ke 5. Inilah kerja Tuhan yang tidak ada sesiapa dapat membacanya dan menghalangnya. Semalam Tok Guru di keji dan dihina ataupun dipermainkan, tetapi hari ini esok darjatnya diangkat setinggi-tingginya.

Menilai segala kejayaan, pengorbanan dan kesungguhan Tok Guru menjadi MB dan mentadbir Kelantan selama 20 tahun rasanya tidak terbalas oleh sesiapa pun. Jasa dan pengorbanan itu sangatlah besar. Hanya Allah jugalah yang boleh membalas. Dan seperti telah dijanjikan apabila genap saja 20 tahun Tok Guru jadi MB dan membawa Kelantan menerajui perubahan, Allah talaala memberi ganjaran duniawi besar kepadanya dengan mentkdirkan Tengku Mohamad Faris Petra menjadi sultan Kelantan yang baru.

Gandingan antara Tok Guru dengan Sultan Mohamad Ke V adalah gandingan seperti cekrawala bulan dan mentari. Tok Guru memerintah dengan cahaya kelembutan, Sultan Mohammad Ke V memerintah dengan cahaya ketegasan dan keadilan. Dan ciumanku di perkarangan hotel Fully Inn Gua Musang malam kelmarin adalah ciuman kasturi sebagai cederahati dari seorang marhaen kepada seorang memanda kesayangan Sultan. -MSO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .