KUALA TERENGGANU -   Setiap hari pasti ada paparan berita kejadian libatkan kes dadah di  negeri Terengganu dalam akhbar media perdana, samada pengedaran atau  penagihan.
Ia menjadi satu indikator menunjukkan kes-kes dadah  memang serius dan semakin meningkat berlaku di negeri Darul Iman ini,  walaupun dinafikan oleh kerajaan Umno dan Barisan Naional
(Gambar  Fail - Supt Roslan menunjukkan bahan bukti pengedaran dadah yang di  sembunyikan dalam coli seorang wanita pada bulan Jun lalu)
Di KUALA TERENGGANU,  seorang lelaki yang memiliki ijazah pemasaran ditahan kerana memiliki  1.4 kilogram ganja bernilai RM98,000 di Wakaf Mempelam di sini Ahad lalu
Lelaki  terbabit yang juga pemborong kain sutera dan berumur 28 tahun ditahan  di sebuah rumah di Kampung Tok Jamal kira-kira 9 malam.
Ketua  Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Supt Roslan  Abdul Wahid dipetik Bernama berkata dadah tersebut diperolehi dari  negara jiran dan bakal dijual di sekitar sini.
Suspek juga seorang penagih dan kini ditahan reman sehingga Ahad ini.
Sementara  itu ganja seberat 234 gram bernilai RM16,000 dirampas dari seorang  lelaki di Kampung Mengabang Telipot kira-kira 9 malam pada hari Sabtu.
"Ketika  polis hendak memeriksa kereta yang dinaikinya, suspek yang menyedari  kehadiran polis segera mengundurkan kereta itu sehingga melanggar sebuah  kenderaan polis.
"Bagaimanapun usaha suspek yang berusia 28  tahun dan sudah berkahwin itu melarikan diri gagal kerana kenderaannya  telah terkepung," kata Roslan.
Suspek yang kini ditahan reman didapati mengedar dadah di sekitar Kampung Mengabang Telipot dan Chendering.
Di DUNGUN  – rahsia pengambilan dadah jenis morfin membabitkan adik beradik di  sebuah rumah kawasan perkampungan nela-yan tradisional dekat sini  terbongkar apabila 'port' mereka diserbu polis, petang kelmarin.
Lebih mengharukan, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pertalian darah dan difahamkan hidup bersama sejak lebih 20 tahun lalu.
Bagaimanapun,  godaan kuat terhadap barang khayal itu menyebabkan kesemua adik-beradik  masing-masing: berumur 30, 26, 22 dan 20 ini tewas sehingga dipercayai  menjadikan aktiviti pengambilan barang terlarang itu sebagai rutin  harian mereka.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor  berkata, empat suspek, kesemuanya adik-beradik yang ditahan dalam  serbuan di sebuah rumah di Kampung Pantai Laut itu berjaya membongkar  aktiviti pengambilan dadah jenis morfin membabitkan adik-beradik.
Dahlan  berkata, seorang daripada suspek terbabit adalah penagih tegar morfin  dan mempunyai beberapa rekod jenayah manakala tiga lagi adik-beradiknya  dipercayai turut mengikuti jejaknya.
Katanya, bertindak atas  maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu lokasi berkenaan kira-kira jam  6.20 petang kelmarin lalu menahan empat adik-beradik itu untuk siasatan  lanjut.
“Kesemua suspek selepas menjalani ujian saringan air  kencing disahkan positif dadah jenis morfin dan ditahan reman selama  seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan  Dadah 1983 (rawatan dan pemulihan),
“Jika sabit kesalahan empat  beradik ini boleh dikenakan hukuman menjalani rawatan di pusat serenti  dan tempoh pengawasan selama dua tahun," katanya dilaporkan Sinar Harian  5 Oktober
Manakala di BESUT, seorang lelaki  yang disyaki pengedar dadah kecil-kecilan tergamam apabila dia dicekup  polis ketika asyik melihat bahagian enjin kereta di depan rumahnya di  Jalan Tandak, dekat Jertih di sini, kelmarin.
Suspek berusia 34 tahun dipercayai sedang memeriksa enjin keretanya sebelum didatangi sepasukan anggota polis.
Ketua  Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, atas  maklumat awam sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah  ke rumah suspek.
Menurutnya, polis menahan suspek dan melakukan  pemeriksaan pada badannya dan menemui dua tiub straw mengandungi  sembilan pil dipercayai pil kuda dalam pokok seluar suspek.
“Pemeriksaan  sari-ngan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine  dan siasa-tan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau  sebagai penagih dadah,” katanya.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pendawai elektrik sudah berkeluarga ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes  ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana  memiliki dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga  RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi  kesalahan menagih dadah kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta  yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga  RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan.
Kerajaan  negeri Terengganu pada 28 September lalu memberikan penjelasan  sekaligus menafikan  pertambahan penagih dadah yang dikatakan meningkat  sehingga lebih 1,000 peratus di negeri itu.
Pengerusi  Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber  Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata laporan yang dikeluarkan  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah tidak tepat.
"Kita  terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan AADK baru-baru ini yang  mengatakan pertambahan penagihan dadah negeri Terengganu sampai 1,000  peratus lebih," katanya kepada Bernama, di sini.
Mengikut laporan  AADK, Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang  tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,583 penagih berbanding  hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada  1,366.67 peratus.
Ahmad Razif yang juga Pengerusi Kelab  Pencegahan Jenayah Negeri Terengganu berkata sebenarnya peningkatan  1,000 peratus itu disebabkan mulai 1 Jan 2010 lalu, AADK telah menerima  semua penagih dadah sintetik yang sebelum itu di bawah jagaan polis. -BO


