
|  | 
Daripada senarai tersebut, dua nama terdiri daripada kalangan masyarakat Orang Asli dan selebihnya kalangan pemimpin dan aktivis masyarakat tempatan.
"Kesemuanya memang dikenali oleh orang Gua Musang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan menamakan individu yang disenaraikan itu. Senarai berkenaan juga belum dibincangkan dalam mesyuarat dewan harian PAS pusat, katanya. Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, nama-nama berkenaan dicadangkan bagi memenuhi kemahuan akar umbi.
Ditanya mengenai pertimbangan yang akan digunakan dalam memilih calon kali ini, Tuan Ibrahim berkata: "Kita pilih calon yang boleh bergelumang dengan rakyat di situ." Mengulas kesediaan PAS untuk menurunkan wakil daripada masyarakat Orang Asli di situ, Tuan Ibrahim berkata, pertimbangan tersebut dilakukan berdasarkan keputusan pilihan raya umum sebelum ini.
Sokongan daripada kira-kira  2,000 pengundi Orang  Asli terhadap PAS meningkat meningkat sehingga 20  peratus dalam  pilihan raya lalu di enam peti undinya Belatim, Bihau,  Balar, Sungai  Ber, Lojing dan Hau. Selain itu, Galas  juga mempunyai bilangan pengundi  Cina paling ramai berbanding kawasan  lain di Kelantan - seramai  kira-kira 1,900 orang di peti undi Bandar  Baru, Bandar Lama dan Kampung  Baru Hilir.
Kawasan selebihnya, Sungai Terah, Kampung Batu Papan, Kampung Pulai dan Lepan Tupai menempatkan majoriti pengundi Melayu  di Galas, seramai kira-kira 6,200 orang daripada keseluruhan lebih  11,500 pengundi. Tindakan  PAS mengambil kira calon daripada kalangan  masyarakat Orang Asli itu  kelihatan konsisten dengan kenyataan timbalan  pesuruhjaya II PAS  Kelantan Datuk Husam Musa untuk mengambil kira  komitmen masyarakat Orang  Asli terhadap PAS.
Antara  wakil masyarakat Orang  Asli yang dikenali di kalangan masyarakat Gua  Musang ialah Pandak  Panjang Ey, yang kini dilihat mesra dengan PAS  Kelantan. Beliau  hadir bersama sekumpulan masyarakat Orang Asli Temiang  Gua Musang dalam  satu program ramah mesra anjuran kerajaan negeri di  kediaman rasmi  menteri besar Selasa lalu, lapor Harakahdaily.
Turut   hadir di majlis itu ialah timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yakub;   speaker DUN Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan exco kerajaan negeri.   Sementara  itu, seorang penduduk tempatan, Mazlan Jaafar berkata, beliau  mengambil  sikap terbuka sekiranya PAS mengambil pendirian untuk  mencalonkan wakil  Orang Asli. "Kalau dia berkebolehan, maksudnya dia   boleh berkhidmat, kita akan sokong. Tapi, setahu saya PAS belum putuskan   sesiapa untuk jadi calon," kata Mazlan, seorang kakitangan Majlis   Daerah Gua Musang.
Tambahnya, Orang Asli pada masa kini  tidak lagi boleh dipandang rendah kerana terdapat di kalangan mereka  yang berkebolehan. "Orang  Asli sekarang bukan macam dulu, ramai yang  berkebolehan. Mungkin tidak  ramai yang masuk universiti tapi mereka  berkebolehan," katanya lagi.
Ketika ditanya lanjut, Mazlan berkata, beliau lebih cenderung untuk memilih calon dari kalangan orang Melayu kerana golongan berkenaan membentuk majoriti di kawasan tersebut. "Tapi kalau sesiapa pun calon itu, kalau berkebolehan, kita akan sokong," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.(AK)


 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
