12 Maut, Lebih 40 Cedera Dalam Kemalangan Babitkan Enam Kenderaan
Gambar: Kemalangan membabitkan dua bas ekspres, satu van dan tiga kereta di KM223 Lebuhraya PLUS berhampiran tol Simpang Ampat, malam tadi dipercayai meragut 11 nyawa. - Foto Jaafar Mulup/BH
REMBAU - Seramai 12 orang maut dan lebih 40 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat di sini Ahad.
Polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan.
Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.
Sebuah kereta lagi turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandu dan penumpangnya selamat.
Setakat ini, kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti.
Semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke tiga hospital berasingan iaitu Hospital Tampin, Hospital Tuanku Ja'afar dan Hospital Melaka. - BERNAMA
Kemalangan maut di Alor Gajah.
MELAKA, 10 Okt: Lebih 10 dipercayai mati dalam kemalangan maut apabila sebuah bas ekspres dari Melaka menuju Kuala Lumpur terbabas lalu melayang ke jalan bertentangan di Simpang Empat Alor Gajah kira-kija jam 7 sekejap tadi.
Bas yang dipercayai sarat dengan penumpang itu bergeser dengan sebuah kereta lalu melayang ke laluan sebelah dan menghempap kereta yang sedang menuju ke Melaka dari Seremban menyebabkan bas itu terbalik dengan tayar ke atas.
Menurut Roslan Abdul Hamid, Pengarang Berita Harakah yang hanya lewat beberapa saat sahaja untuk terlibat dalam kemalangan itu, mayat-mayat bergelimpangan di atas jalan raya itu.
"Ia berlaku kira-kira jam 6.50 petang apabila bas ekspress Delima dari Melaka ke Kuala Lumpur bergeser dengan sebuah kereta lalu melayang ke jalan sebelah menghempap kereta dari laluan bertentangan itu," cerita Roslan kepada Harakahdaily dari tempat kejadian.
Turut terlibat dalam kemalangan maut itu adalah sebuah bas sekolah dan beberapa buah kereta.
"Salah sebuah dari kereta itu terbakar manakala sebuah lagi terperosok di bawah bas ekspres itu," beritahu Roslan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Melaka.
Akibat dari kemalangan ini, Lebuhraya Utara Selatan itu jam teruk dari Seremban ke Melaka.
"Orang ramai sedang berusaha mengeluarkan mayat di samping membantu yang cedera," beritahu Roslan.
Keadaan mayat pula, katanya, amat menyedihkan.
"Ada yang putus tangan, ada yang pecah kepala dan hancur badannya," beritahu Roslan lagi yang masih terperangkap di tempat kejadian bersama keluarganya. -Hrkh