Ikuti Blog ini

PRK Galas : PAS Umum Calon Pada 24 Oktober


PAS akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 24 Okt, kata Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun. Beliau berkata semua senarai calon parti itu untuk pilihan raya tersebut telah diserahkan kepada Dewan Syura untuk diperhalusi sebelum diputuskan secara muktamad.

"Kita (PAS) bercadang membuat pengumuman nama calon 24 Okt ini serentak dengan hari pengumuman yang akan dibuat oleh parti lawan BN (Barisan Nasional), ini dikirakan sesuai dan adil bagi semua pihak," katanya kepada Bernama di sini Isnin. Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, mengikut kebiasaannya selepas mengumpul senarai nama calon berkenaan, anggota pimpinan PAS pusat akan membuat kaji selidik dan semakan secara terperinci latar belakang calon terbabit sebelum membuat keputusan.

"Mereka akan turun ke bawah untuk memastikan calon yang paling sesuai dan memenuhi ciri-ciri kriteria yang dikehendaki sebelum membuat keputusan muktamad," katanya. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan bahawa Orang Asli adalah antara senarai nama calon yang dicadangkan oleh parti kawasan berkenaan untuk diserahkan ke peringkat pimpinan parti itu.

Mengenai pelancaran jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi kempen di kawasan Galas itu, Abdul Fatah berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan majlis pelancaran jentera pilihan raya itu pada 19 Okt ini. "Tarikh itu dianggap sesuai sebagaimana dipersetujui Menteri Besar Kelantan itu sendiri," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 Nov jika ada pertandingan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Che Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkann hari penamaan calon ialah pada 26 Okt.

- Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .