Ikuti Blog ini

Tanam semula: Ahmad guris perasaan peneroka

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Datuk Ahmad Maslan diminta menghentikan segera pembohongan dan dolak dalik berhubung isu Felda khususnya wang tanam semula kepada peneroka persendirian.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman merujuk kepada beberapa kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dianggap bukan sahaja cuba memperbodoh peneroka malah tidak wajar keluar dari mulut seorang menteri.

Antaranya kenyataan Ahmad yang mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang.

Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah.

"Saya gesa beliau menarik balik kenyataan yang mengguris perasaan lebih 14,00 peneroka sawit yang mengurus kebun mereka secara persendirian dengan kadar segera.

"Jika tidak, laporan polis besar-besaran akan di buat di seluruh negara," kata Mazlan pada sidang media di parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, wakil-wakil peneroka yang menanam sendiri dan bekas kakitangan yang bekerja hampir 30 tahun Felda.

Selain itu beliau turut mempersoal adakah Felda memberi kebebasan kepada peneroka untuk mengurus kebun secara persendirian, sedangkan pada masa yang sama Felda juga mengeluarkan pekeliling melarang peneroka berbuat demikian.

"Kalau tiada paksaan, kenapa Felda mengeluarkan pekeliling mengugut peneroka agar mencabut anak sawit yang telah ditanam secara persendirian?" soalnya.

Menurutnya lagi, terdapat peneroka yang telah menanam sendiri hampir 10 tahun, namun wang tanam semula yang dijanjikan Felda tidak diperolehi.

Sehubungan itu, beliau juga mendesak Ahmad dan Felda jangan berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan bayaran wang tanam semula dalam masa tiga bulan.

"3,000 peneroka di Pahang sekarang ini masih lagi menunggu wang tanam semula mereka.

"Jika gagal berbuat demikian, Anak akan atur rombongan peneroka setiap minggu ke Ibu Pejabat Felda di jalan Semarak setiap minggu," katanya lagi.

Kumpulan pertama yang akan dihantar adalah dari Felda Gugusan Sungai Dusun Ulu Selangor yang dijanjikan wang tanam semula oleh Felda pada pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

"Jika tidak dapat wang tanam semula, peneroka tidak teragak-agak membawanya ke mahkamah.

"Peneroka pilih mahkamah sebab itu jalan terakhir setelah perundingan dibuat begitu lama namun Felda belum bayar," jelasnya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .