Ikuti Blog ini

Perwakilan Umno digalak bahas GTP ( Golongan Tipu Pusat)

Para perwakilan Umno yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul pada Perhimpunan Agung parti itu yang akan bermula Selasa ini digalakkan menekankan pelan transformasi kerajaan (GTP).

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata isu itu perlu ditekankan semasa mereka membahas tiga usul yang akan dibentangkan pada perhimpunan Umno iaitu semasa membahas ucapan dasar Presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan pelan hala tuju transformasi kerajaan pada Januari tahun ini bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan dasar pentadbiran beliau iaitu "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu merupakan langkah penting dalam perjalanan negara untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Para pembahas juga digalakkan membahaskan mengenai intipati Bajet 2011 yang dibentangkan Najib di Parlimen, Jumaat lepas, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

"Bagi saya apa yang boleh dijadikan sorotan oleh perwakilan ialah mengenai isu perpaduan dan masa depan orang Melayu dalam konteks negara yang berbilang kaum.

"Selain itu, boleh juga dibincangkan mengenai persiapan Umno dan BN dalam kita nak berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (Galas, Kelantan dan Batu Sapi, Sabah) dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya.

Mengulas saranan Perdana Menteri semalam bahawa perlunya satu model baru politik dilakukan, Ahmad berkata ia juga merupakan isu yang menarik untuk dibincangkan dalam perhimpunan kali ini.

"Model Baru Politik itu misalnya dulu banyak menggunakan media tradisional (seperti surat khabar), sekarang kita mempunyai media baru seperti Facebook, blog dan twitter untuk kita menerangkan dasar kerajaan dan parti kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa para perwakilan supaya lebih banyak memberikan cadangan yang positif yang menjurus ke arah pembinaan negara dan bangsa pada perhimpunan kali ini.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kasim yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata para perwakilan perlu berbahas secara serius bagi membolehkan matlamat perhimpunan agung itu tercapai.

"Umno ini harus kita terus bina kekuatannya dan kalau nak bagi teguran, mestilah ianya membina bukan dalam bentuk yang akan memalukan pemimpin," katanya.

Persidangan Agung Umno akan bermula malam Selasa ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno, sementara Perhimpunan Umno pula akan bermula pada Khamis ini akan dirasmikan oleh Najib, yang merupakan Presiden parti.

Buat pertama kali sebuah forum antarabangsa diadakan sebelum pelancaran perhimpunan Umno yang bertajuk "The creation of Global Citizen: Media Liberation and New Political Realities".

Ia dijangka dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara luar bersama 54 peserta dari Kelab Umno Luar Negara.

--Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .