Saman je pemandu Bas yang cuai. Jangan biarkan pengusaha Bas yang lebih pentingkan periuk nasi, daripada terus membunuh rakyat negara ini..
Seorang lagi penumpang bas Delima meninggal dunia
MELAKA - Tempoh lima hari dilalui penuh tabah oleh seorang ibu Zaliha Zainordin, 48, sepanjang tempoh 24 jam mendoakan anaknya Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, agar sembuh sejak dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak Ahad lalu.
Namun harapan Zaliha untuk melihat anak bongsunya daripada tiga beradik itu pulih tidak kesampaian apabila kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi, Sharifah Norasmirah menghembuskan nafas terakhir di wad berkenaan.
Tiada ungkapan yang mampu diluahkan oleh Zaliha melainkan menitis air mata apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa anak bongsunya telah meninggal dunia.
Sharifah Norasmirah, penuntut tahun keempat Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini.
Kematian pelajar yang berasal dari Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu itu menjadikan dia adalah mangsa yang ke-13 terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan empat kenderaan lain yang berlaku kira-kira pukul 6.50 petang Ahad lalu.
Sharifah Norasmirah adalah penumpang bas ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan itu.
Zaliha ketika dihubungi hari ini berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsunya.
"Apa yang makcik boleh katakan. Makcik reda menerima ketentuan Ilahi bahawa anak makcik dah tidak ada lagi.
"Sepanjang menjaga Sharifah Norasmirah di ICU, makcik memang tidak putus-putus berdoa semoga dia cepat sembuh tetapi akhirnya terpaksa menerima hakikat dia sudah meninggalkan makcik selama-lamanya," katanya sebak.
Dia reda dengan pemergian Sharifah Norasmirah setelah diberitahu oleh doktor bahawa anaknya mengalami kecederaan parah di kepala.
"Semalam, doktor berjumpa makcik memberitahu otak anak makcik sudah tidak berfungsi dan denyutan jantungnya pula semakin perlahan," ujarnya.
Katanya, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya kira-kira pukul 3 pagi.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu hari ini.