Ikuti Blog ini

Bajet 2011: BN saudagar mimpi perdagang dongengan, kata TG Hj. Hadi

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan semalam membuktikan agenda ekonomi dan transformasi dibawa Datuk Seri Najib Razak sebenarnya “berpusing di takuk lama dengan diberi penjenamaan semula.”

Kata beliau, kerajaan pusat pimpinan BN cuba menjadi “saudagar mimpin yang memperdagangan dongengan” dengan angkta-angka besar dalam bajet kali ini dan pengumuman projek-projek mega.

Dalam ucapan Bajet 2011 semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Perdana Menteri berkata, “kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan.”
“Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata.

“Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi,” kata Najib.


Dalam reaksinya, Hadi (gambar) juga medakwa Bajet 2011 ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.

Ahli Parlimen Marang ini memberitahu akibat dari penyelewangan, pembaziran dan rasuah yang bermaharajalela dan sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai, maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama.

“Inilah yang ditekankan oleh PAS bahawa asas terbesar ialah kerajaan yang dipacu oleh Umno-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun,” kata Hadi dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Justeru, kata Hadi, bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa.

Beliau menambah pada masa yang sama fokus kerajaan juga terus tersasar atas sebab-sebab tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih di peringkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta berbanding RM100 juta untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli dan Pribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Kata Hadi, apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa pendapatan per kapita meningkat 6.1 peratus kepada RM28,000 dan kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5 peratus sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung daripada peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini.

“Inilah hakikatnya,” kata beliau.

“Kita katakan bahawa kerajaan Umno-BNlah sebenarnya yang menjadi ‘saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian.

“Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan,” katanya.

Hadi berkata,kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM5 bilion sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja.

“Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta iaitu dalam lingkungan 3.6 peratus dari projek Warisan Merdeka.

“Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 bilion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN,” kata beliau.

Hadi menambah, agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini kerana pimpinan Umno-BNlah sebenarnya “bermimpikan projek” lantas “memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat.”

“PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara,” katanya.

The Malaysian Insider
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .