Hapuskan budaya ‘cah keting’, kata Khairy
GUA MUSANG — Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta agar budaya “cah keting” atau cantas-mencantas dihapuskan dan berharap ia tidak akan berlaku pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata budaya itu yang sering dikaitkan dengan Umno Kelantan, perlu dihapuskan segera kerana ia berupaya merosakkan imej parti dan Barisan Nasional (BN).
“Saya dapat jaminan daripada Ketua Pemuda Gua Musang Bazlan Baharuddin bahawa Pemuda akan sokong siapa sahaja calon mewakili BN untuk pilihan raya kali ini, dan tidak mahu budaya cah keting dipraktikkan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Projek Perumahan Rakyat di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lepas.
Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, telah dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 4 Nov depan.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Pemuda akan menggerakkan jenteranya dengan lebih aktif bagi menarik pengundi muda menyokong BN menerusi pendekatan isu tempatan, berbanding “serangan peribadi” terhadap calon pembangkang.
Bagaimanapun, beliau berkata Pemuda akan sentiasa memantau ceramah parti lawan bagi mengenal pasti bentuk serangan peribadi terhadap calon BN, selain melihat sama ada janji mereka kepada rakyat di Kelantan telah ditunaikan atau tidak. — Bernama
Hanya beberapa jam calon BN untuk Galas diumumkan, Ketua Pemuda UMNO meminta supaya budaya “cah keting” atau cantas-mencantas dihapuskan dan berharap ia tidak akan berlaku pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Ia seperti satu respons dari pemerhatian Khairy terhadap apa yang berlaku di Galas.
Apatah lagi "permintaan" itu dibuat secara terbuka. Maka dengan sendirinya orang semua sudah boleh membuat kesimpulan, memang sah cah keting berlaku di sana.
Bila melihat kepada calon BN yang dikemukakan untuk Galas, setiap orang termasuk dari kalangan UMNO bersetuju cah keting itu tak dapat dielakkan. -GB