KUALA TERENGGANU – PAS yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli Mohamad di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.
“Pada pilihan raya umum lepas Dr Zulkefli mendapat 300 majoriti undi di kawasan Galas walaupun beliau kalah di kerusi Parlimen Gua Musang kepada Tengku Razaleigh.
“Ini bermakna tidak mustahil untuk PAS menang di Galas pada pilihan raya kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di sinii.
Abdul Hadi berkata bagaimanapun, PAS hanya meletakkan keyakinan 48 peratus peluang untuk menang pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, akibat kanser usus pada 27 September lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Okt sebagai tarih penamaan calon manakala pengundian pada 4 November. – Bernama