Agihan wang ihsan mesti diselesaikan akhir bulan ini: JPP
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memastikan semua pengagihan wang ihsan pelajar di negeri Kelantan diselesaikan akhir bulan ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustaffa, berkata semua peruntukan RM25 juta itu akan dihabiskan sehingga tempoh tersebut.
“Ia sebagaimana dikehendaki oleh Kerajaan Pusat melalui agensi pelaksana pengagihan wang itu iaitu JPP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan,” katanya selepas melakukan upacara pelepasan serombongan 1,500 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kelantan yang menaiki 32 bas di Dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini, malam tadi.
Rombongan diketuai Mejar (B) Mohd Ali Nawang itu dijangka mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya, petang ini.
Makhtar berkata, lebih 70,000 pelajar rendah rendah dan tingkatan enam menerima bantuan wang ihsan itu yang dikendalikan jabatannya dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (JPP) dan Pejabat Pembangunan Jajahan (PPJ).
Pemberian wang ihsan itu diperuntukkan Kerajaan Persekutuan selepas menukarkannya daripada royalti mula dikeluarkan kepada pelajar Ogos lalu, membabitkan 70,800 pelajar di seluruh negeri Kelantan tanpa mengira bangsa.
Katanya, mengikut peraturan, pelajar yang telah menerima bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Malaysia (KWAMP) dan keluarga berpendapatan lebih RM1,500 sebulan, tidak layak menerima wang itu.
“Pelajar tingkatan enam layak menerima wang ihsan itu tanpa mengira kedudukan dan pendapatan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu mereka yang menerima wang ihsan itu memanfaatkan pemberian itu sewajarnya untuk kemudahan pelajaran mereka tanpa menyalahgunakannya. -BERNAMA
Royalti: Kelantan saman tidak libatkan Pusat
KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.
Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.
"Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.
"Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini," katanya pada satu majlis di sini, semalam.
4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat.
Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut.
Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti.
Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.
Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak. -Hrkh
Demikian menyedihkan dimana kerajaan UMNO BN sanggup merompak hasil royalti milik Kerajaan Kelantan dengan menjadikannya wang ihsan (dengan mengenepikan Perjanjian yang dibuat di antara Petronas dengan kerajaan negeri), yang kemudiannya wang ihsan ini tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi diagihkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Rakyat menjadi keliru sebelum ini Husam Musa, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.
Mungkin dari sudut teknikal perundangan, GB belum nampak rasional tindakan sedemikian namun kita percaya Kerajaan Pusat ada terlibat secara lansung mengenepikan perjanjian berkenaan dengan tindakan mereka menukar wang royalti kepada wang ihsan.
Perancangan jahat Datuk Seri (sekarang Tun) Mahathir Mohd yang memulakannya apabila Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya 1999. Dan polisis itu diterus di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan kini Mohd Najib.
Dan kita berharap Jabatan Audit Negara dan PAC menyiasat penggunaan wang ihsan tersebut dengan teliti dan sebarang penyalh-gunaannya mestilah didedah dan dihentikan.
Kita juga berharap mesej jelas tuntutan wang royalti akan diberikan nada yang keras dan lantang di pilihanraya kecil Galas nanti. -GB