1.  Mutaakhir ini terlalu banyak isu sensitif yang menguji  kebijaksanaan  PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang popular di pentas  politik  tanahair. PAS terpaksa berhadapan dengan ketegasan hujjah  berasaskan  syariah yang diperjuang disamping sokongan masyarakat dari  pelbagai  kaum dan agama yang diperlukan. Jua tidak dinafikan betapa PAS  juga  akan berhadapan dengan "serangan hendap" dari musuh yang hanya menanti saat berlakunya kesilapan dalam tindakan dan kenyataan.
2.  Malah saya juga dapat  mengesan bagaimana masih wujudnya dari kalangan  ahli yang sukar  memahami isu dan menerima keputusan yang diambil oleh  jamaah lalu  disulitkan lagi dengan kritikan melulu tanpa asas yang kukuh  dari pihak  yang mendakwa sebagai penyokong parti tetapi tidak ubah  seperti sokong yang membawa rebah.
3.  Mempertahankan agama  serentak dengan keperluan mencari sokongan politik  dari pelbagai pihak,  adalah suatu yang tidak mudah bagi PAS. Mental yang  mantap dan jiwa  yang tabah mesti seiring dengan hujjah yang kukuh dan  hikmah  [kebijaksanaan] yang utuh. Bahkan perlu kepada pemimpin yang  tinggi  nilai taqarrub [ dekatnya dengan Allah ] . Kini gerakan  PAS  tidak lagi sehala atau dua hala antara PAS dengan anggotanya atau   anggotanya dengan PAS, tetapi PAS kini berada di titik tengah dalam lingkungan 360 darjah yang semuanya menghala ke arah PAS sementara mengharapkan tindak balas positif dari PAS.
4. Apa yang saya maksudkan ialah PAS tidak lagi parti defensive tetapi juga offensive  sebagaimana PAS tidak hanya parti yang responsive tetapi juga creative. Malah PAS mula me'lasak' kan diri untuk menerima pandangan - pandangan bersifat kritikal dan sinikal   dari pihak luar sempadan parti. Juga PAS kini membiasakan diri malah   kelihatan mula mesra dengan pandangan kedua sebelum membina pendirian   yang konkrit.
5. Disiplin kental yang berpaksi  kepada  akhlak berjamaah pula melandasi prinsip syura dalam membuat  keputusan  adalah potensi PAS untuk terus thabat [ utuh ] mendokong cita - cita perjuangan Islam tanpa menjarakkan diri dari arus perdana politik moden. Tegas mempertahankan syiar dan syariat Islam namun toleransi dalam komunikasi dan interaksi.
6.  Saya turut merasakan suhu  tinggi ditanggung oleh PAS setiap kali  terpaksa bersabar dengan karenah  rakan dan lawan yang kadangkala  mengganggu rentak dan prestasi.  Segalanya membekalkan khibrah [ pengalaman ] buat PAS yang kian dewasa dan matang dengan zaman yang direntasinya.   Dalam kematangan yang sedemikian, tidak mungkin PAS mengkhianati rakan   sebagaimana tidak mungkin PAS sujud mengalah kepada lawan.
7.  Baru - baru ini timbul isu  Interlok yang dipolitikkan secara sistematik  diambang pilihanraya kecil  N 05 Tenang. Dewan Pemuda PAS Malaysia  bertindak pantas menganjurkan  sidang meja bulat untuk mempertemukan 2  pihak yang bertelagah. Demikian  juga apabila timbul kritikan terhadap  hukum - hukum Allah, Dewan  Pemuda PAS sekali lagi tampil secara  diplomasi dan akademik,  menganjurkan Nadwah  Kefahaman Islam secara  bersiri [ NAFAS ].  Insyaallah siri berikutnya pada 6 Mac 2011 akan  datang bagi memberikan  penjelasan mengenai Islam kepada semua termasuk  non muslim.
8. Demikianlah isu pekerja  muslim di premis  arak. Saya bersetuju dengan cadangan  Yb Khalid Samad  dari Shah Alam  yang menegaskan agar terlebih dahulu kerajaan yang  berkuasa mewujudkan  peluang pekerjaan halal untuk memindahkan pekerja  dari premis haram ke  premis halal tanpa perlu mencetuskan polemik [  kecuali kepada mereka  yang sengaja engkar selepas daripada itu ], namun  tindakan  mempertegaskan hukum dan meletakkan syarat yang menepati  hukum syara'  sebagaimana yang dipertegaskan oleh pihak MPSJ dan Yb  Dato' Hassan Ali  juga wajar disokong penuh agar ummat Islam menginsafi   bahawa premis  haram tidak layak untuk mereka mencari rezeki.
9.  Kelihatan azan juga mencetus  konflik yang perlu ditangani dengan bijak  dan hikmah. Saya sedikit pun  tidak hairan apabila seorang non muslim  mengkritik azan yang  dikumandangkan melalui pembesar suara, pula  tindakan mereka kononnya  berasaskan hak asasi mereka untuk hidup damai  tanpa gangguan.  Persoalannya sejauh mana kita menemui mereka untuk  memahamkan mereka  bahawa azan adalah sebahagian dari syiar agama Islam  dan ia adalah  urusan rasmi ummat islam yang tidaklah boleh dipertikaikan  begitu  sahaja. Jika Islam adalah agama rasmi negara dan ia diterima  oleh semua  maka sewajarnya azan tidak menjadi gangguan kepada mereka,  terutama  apabila mereka memahami unsur - unsur positif yang terkandung  di dalam  seruan azan tersebut.
10. Ertinya usaha  PAS  hari ini ialah menginsafkan ummah, memahamkan non muslim dan   menyedarkan mereka akan tanggungjawab beretika dalam negara berbilang   bangsa dan agama yang Islam menjadi agama rasminya. Saya yakin   dan percaya, tiada insan yang bodoh dan dungu untuk menolak seruan   kebaikan, kejayaan , kecemerlangan sebagaimana yang dilaungkan oleh   muazzin saban waktu selain ia turut mendisiplinkan manusia dengan dengan   masa agar hidup manusia tidak lagha [ lalai ] dan alpa.


 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
