Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong pandangan YB Dato’ Dr Hassan Ali yang mahukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak. Sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Ronnie Liu.
Dalam  hal ini, DPPWP merasa kagum terhadap YB Dato’ Dr Hassan Ali yang  bertegas dengan prinsip Islam. Hukum Islam telah jelas menyatakan haram  bagi umat Islam bekerja di premis yang menyediakan minuman keras apatah  lagi meminumnya. Tindakan beliau dengan jelas membuktikan bahawa PAS  tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya meskpiun bersahabat  dengan pelbagai parti politik. Dasar PAS yang berjuang untuk Islam sejak  dahulu hingga kini tidak pernah berubah walaupun bermacam halangan yang  melanda. Ini juga membuktikan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat jauh  bezanya dengan UMNO dan Barisan Nasional.  
DPPWP juga menyokong dan mengucapkan tahniah kepada MPSJ kerana mahu melaksanakan larangan ini. Penguatkuasaan ini akan mampu mengelakkan umat Islam terjebak dengan maksiat dan dosa kerana bergelumang dengan perkara-perkara yang haram. Perkara-perkara haram sebeginilah yang menyebabkan kurangnya keberkatan kepada rezeki yang diperolehi sehingga melahirkan generasi yang rosak akhlak dan akidah.
DPPWP  turut mengharapkan agar YB Ronnie Liu melaksanakan segera peraturan  mengharamkan umat Islam bekerja di premis jualan minuman keras demi  kemaslahatan umat Islam. Umat Islam di Selangor khususnya terlalu lama  menginginkan kehidupan yang diberkati, jauh daripada dosa dan  perkara-perkara yang haram.
Disediakan oleh,
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
