Suasana meriah hari pertama kempen calon PAS ini disemarakkan lagi dengan sokongan padu daripada rakan Pakatan Rakyat.
Gambar: CALON PAS DUN Tenang, Normala Sudirman (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang, Salahuddin Ayub membuat lakaran perkataan Mandarin 'huaan' yang bermaksud ubah. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Tengahari semalam, bertempat di perkarangan Wayang Pacak PAS, DAP melancarkan tema sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 3 Februari nanti. Majlis itu diserikan dengan tarian singa dan mainan gendang daripada kumpulan 'Action Team'.
Pada majlis tersebut, Cikgu Mala diberi peluang menyempurnakan tulisan tema Tahun Baru dalam bentuk kaligrafi Cina iaitu 'Huan' yang bermaksud ubah.
Dr Hew Kuan Yau, Exco Publisiti DAP berkata, berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, setiap Tahun Baru mereka akan memilih satu tema sebagai simbol permulaan yang baik bagi tahun tersebut.
Lazimnya tema yang dipilih ini akan dipamerkan atau digantung di hadapan pintu rumah dengan tujuan menghalau roh jahat. Amalan tradisi ini juga dianggap sebagai membawa tuah bagi masyarakat Cina amnya.
Tambah Dr Hew lagi, Cikgu Mala akan menulis tema tahun baru tersebut sebanyak 6 salinan. Ini kerana bilangan 6 kali atau 6x6 membawa maksud 'sangat lancar'.
"Kami percaya kemenangan untuk memenangi kerusi di Dun Tenang kali ini akan berpihak kepada PR melalui calon PAS, Cikgu Mala."
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Mohammad Sabu, Dato Mahfuz Omar, Dr Dzulkifli Ahmad dan Pengerusi DAP negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau. -n05tenang