Melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily beliau berkata, perlantikan itu juga dibuat secara tidak bertamadun dan merupakan cubaan Umno BN merampas kerajaan Selangor.
"Kita semua menyedari bahawa Umno BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka.
"Kerajaan Umno BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi," katanya.
Beliau mengulas isu perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru yang ditentang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana didakwa membelakangkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Tambahnya, segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Pusat tegasnya, perlu menghormati kerajaan negeri yang telah dipilih rakyat, termasuk dalam membuat pelantikan perkhidmatan awam.
"Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK.
"Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan Umno BN," tambahnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep federalisma oleh Umno BN ini, hanya akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional.
Umno katanya, menggunakan teknik yang sama yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya.
"PAS juga ingin mengingatkan kepada Umno BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah.
"Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk Umno BN," tegasnya.