Hujan Ganggu Kelancaran Mengundi Tapi Tak Halang Pengundi Keluar
11.30am: Sehingga jam 11 pagi tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 38.66 peratus atau 5,703 pengundi keluar mengundi.
LABIS, 30 Jan (Bernama) — Hujan lebat, yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu, dilihat sedikit mengganggu kelancaran proses pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang yang bermula pada pukul 8 pagi.
Hujan, yang turun berterusan sejak Selasa, bagaimanapun tidak menghalang pengundi berdaftar di kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di 12 pusat pengundian yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.
Selain kenderaan yang disediakan oleh parti-parti bertanding untuk kemudahan para pengundi ke tempat mengundi, para petugas SPR juga menyediakan kemudahan payung dan petugas untuk mengiringi pengundi dari luar pusat pengundian ke saluran peti undi.
Seorang pegawai SPR memberitahu pemberita bahawa pengundi tidak dibenarkan membawa payung sendiri masuk ke tempat pengundian kerana ditakuti payung berkenaan dijadikan senjata.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah mendapati suasana tenang sejak ia dibuka dan para pengundi dilihat beratur di luar dewan menunggu giliran masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim tiba di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah pada pukul 8.55 pagi untuk mengundi.
Beliau sempat beramah mesra dan menyapa seorang pengundi berkerusi roda yang mengundi di situ.
Ketika ditemui pemberita, Mohd Azhahar berkata: “Alhamdulillah, semua berjalan lancar, tanggungjawab pun dah ditunaikan. Harap semua pengundi dapat turun (keluar mengundi).”..